AM

Presiden Baharu MMA Berikrar Perkasa Peranan Doktor Dalam Kepimpinan

14/09/2025 12:51 AM

GEORGE TOWN, 13 Sept (Bernama) -- Presiden baharu Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo berikrar untuk memperkasakan peranan doktor dalam kepimpinan, menyokong dasar yang adil serta mengembalikan autonomi profesional.

Beliau juga menekankan isu yang merangkumi fi pengamal perubatan am (GP), jawatan kontrak, amalan pentadbir pihak ketiga sehingga kepada reformasi perundangan perubatan yang perlu ditangani bagi memulihkan keadilan dan kelestarian.

“Doktor bukan sahaja perlu berada di meja membuat keputusan, tetapi terlibat secara signifikan. Kepakaran kita mesti membentuk dasar, bukan sekadar mengesahkannya. Penyertaan secara simbolik tanpa pengaruh hanya melemahkan kepercayaan dan hasil.

“Kita adalah penyembuh, pendukung, pendidik, inovator dan pemimpin. Bersama-sama, kita akan memperjuangkan profesion kita, melindungi pesakit dan membentuk sistem penjagaan kesihatan yang layak untuk masa depan Malaysia,” katanya dalam ucapan sulung pada Majlis Jamuan Tahunan MMA di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dalam ucapannya, beliau memuji usaha berterusan Dzulkefly memperjuangkan profesion perubatan, khususnya dalam menangani isu doktor kontrak, memperkenalkan pindaan Akta Perubatan berkaitan pengiktirafan pakar, mempromosikan pendigitalan serta memajukan inisiatif kesihatan awam.

Dr Thirunavukarasu secara rasmi mengambil alih jawatan daripada Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira dan akan berkhidmat untuk tempoh setahun sebagai ketua persatuan doktor terbesar negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan