KUALA TERENGGANU, 13 Sept (Bernama) -- Lebih 400 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta usahawan Perusahaan Kecil, Sederhana dan Mikro (PKMS) khususnya golongan B40 di Terengganu mendapat manfaat daripada Program Pendigitalan Perniagaan 2025 (PPP25) yang diadakan di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), di sini hari ini.
Pengerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Ahmad Sabki Yusof berkata PPP25 yang mula diperkenalkan tahun ini adalah satu inisiatif strategik bertujuan memperkukuh daya saing sektor perniagaan dengan memperkasakan usahawan B40 dan pelajar melalui penggunaan teknologi digital.
Beliau berkata usaha berkenaan selaras dengan inisiatif pendigitalan kerajaan bagi memperluas pendedahan terhadap peranan transformasi digital ke arah meningkatkan kualiti produk, hasil jualan serta pengembangan pasaran.
"SSM sentiasa komited dan cakna dengan membantu serta memudah cara golongan usahawan khususnya dalam kalangan PMKS agar dapat mengaplikasikan teknologi pendigitalan secara efektif dan berkesan dalam operasi perniagaan mereka.
"Ia sejajar dengan aspirasi Dasar Pembangunan Ekonomi Inklusif dan Kesejahteraan Rakyat yang diperkenalkan di bawah kerangka Malaysia MADANI," katanya berucap pada Majlis Perasmian PPP25 Peringkat Terengganu di sini hari ini.
Pelaksanaan PPP25 Peringkat Terengganu adalah siri kedua tahun ini selepas edisi pertama di Sabah pada Jun lepas.
Program berkenaan adalah kesinambungan dan penjenamaan semula program keusahawanan SSM iaitu Program Usahawan Muda dan Program Bimbingan Usahawan.
Antara pengisian sepanjang program PPP25 ialah Taklimat Kepentingan Mendaftar Syarikat Secara Sah, slot Scam Alert, Pendigitalan Perniagaan, Strategi Pemasaran Digital, Penggunaan Saluran Pembayaran Digital dan perkongsian pengalaman daripada ikon usahawan berjaya.
Turut berlangsung, acara penyampaian agihan Wakalah Zakat Korporat dan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SSM berjumlah RM290,000 untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.
Dalam pada itu, berdasarkan rekod SSM, sebanyak 15,311 syarikat telah diperbadankan, 407,008 perniagaan serta 526 Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) telah didaftarkan di Terengganu setakat 31 Ogos lepas.
Daripada jumlah itu, sebanyak 6,040 syarikat telah diperbadankan, 71,035 perniagaan dan 486 PLT dilaporkan aktif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial