AM

KPDN Anjur PJRM Mega Pahang, Tawar Diskaun Hingga 30 Peratus

13/09/2025 07:10 PM

KUANTAN, 13 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Mega Hari Malaysia Peringkat Negeri Pahang di Tapak Hadapan Pasar Nelayan Pantai Sepat di sini, bermula hari ini hingga esok.  

Timbalan menteri berkenaan Datuk Dr Fuziah Salleh berkata program itu menawarkan 142 stok simpanan unit (SKU) termasuk ikan segar dan daging menerusi kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dengan potongan diskaun sebanyak 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran tempatan

“Program Jualan Rahmah Mega itu dilaksanakan menerusi model luar premis yang setakat ini kurang daripada 1,000 kali diadakan di seluruh negara. Di lokasi ini pula, ia penganjuran kali kedua selepas sambutan menggalakkan sebelum ini.

“Kebiasaannya program mega dianjurkan selama dua hari bagi memberi peluang penduduk setempat merancang kehadiran mereka, sama ada pada sebelah pagi, petang atau keesokan harinya. Diharapkan inisiatif itu dapat memberi manfaat maksimum kepada orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan PJRM Mega Hari Malaysia di sini hari ini. 

Bagi menarik lebih banyak pengunjung, KPDN turut mengagihkan insentif e-dompet bernilai RM20 kepada 1,500 pengunjung terawal hari ini dan esok, serta menyediakan terminal Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk memberi manfaat berganda kepada pengunjung yang ingin menggunakan bantuan berkenaan. 

Fuziah berkata sejak Januari hingga 31 Ogos lepas, sebanyak 15,308 Jualan Rahmah telah dianjurkan di seluruh negara merangkumi tiga model utama, dengan 9,600 daripadanya ialah Jualan Rahmah Bergerak.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan agihan zakat wakalah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berupa wang tunai RM250 dan bakul Rahmah bernilai RM100 kepada 127 penerima. 

Bercakap mengenai perancangannya dalam Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI), beliau berkata pihaknya akan memberi tumpuan terhadap pembangunan projek sawah padi di Pantai Sepat yang telah terbiar sejak pandemik COVID-19. 

“Sebelum ini, sawah padi ini ada 88 peserta, tapi sudah tiga tahun ia terbiar maka, kita mulakan semula  usaha itu dengan membentuk komuniti-komuniti. Jadi 88 peserta itu kita bahagikan kepada tiga komuniti untuk mengusahakan sawah seluas 33 ekar. Sebelum hujung tahun ini akan mula kerja membajak dan menanam (padi),” katanya. 

Beliau berkata pembangunan sawah padi itu juga mampu meningkatkan potensi agropelancongan di kawasan berkenaan kerana faktor geografinya berdekatan kawasan pantai. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan