JENAYAH & MAHKAMAH

Tujuh Suspek Ditahan Kes Kekecohan Di Kampung Sungai Baru

13/09/2025 09:32 AM

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Polis menahan tujuh suspek berhubung insiden kekecohan ketika operasi pengosongan 37 unit rumah teres di Kampung Sungai Baru di sini pada Khamis lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata kesemua suspek lelaki berusia antara 15 hingga 50 tahun itu ditahan dengan enam daripada mereka direman dua hingga tiga hari bermula semalam, manakala seorang lagi telah didakwa di mahkamah.

"Suspek yang dituduh, iaitu lelaki berusia 26 tahun mengaku bersalah, didenda RM1,500 dan ketika ini telah dibebaskan.

“Polis akan memohon pelanjutan reman untuk suspek lain bagi meneruskan siasatan. Ada antara yang ditahan itu mempunyai rekod lampau jenayah pecah rumah dan kes lain," katanya dalam sidang media di sini malam tadi.

Fadil berkata setakat ini tiga kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 186, 353 dan 324 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata siasatan mendapati mereka yang ditahan bukan penduduk yang beralamat di Kampung Sungai Baru, sebaliknya dipercayai ketua serta ahli kepada satu pertubuhan.

"Saya masih tidak dapat mendedahkan jika mereka ini ada agenda atau kepentingan lain kerana siasatan masih dijalankan. Saya juga ingin menegaskan jika didapati ada lagi tindakan agresif ke atas penguat kuasa, tindakan awal akan segera dilakukan," katanya.

Beliau berkata polis masih mengesan beberapa lagi suspek berhubung kes itu dan tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dilakukan.

“Kita juga minta kerjasama orang ramai yang menyimpan video-video berkaitan dengan insiden tersebut untuk berkongsi video itu dengan polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman yang mengalami kecederaan di kepala dalam insiden berkenaan masih menerima rawatan, namun dalam keadaan baik dan tidak dimasukkan ke wad hospital.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan