AM

KDEBWM Tingkat Operasi Pembersihan Awam Hulu Selangor Dengan Lori RORO Baharu

12/09/2025 09:09 PM

HULU SELANGOR, 12 Sept (Bernama) -- Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM) memantapkan operasi pembersihan awam di Hulu Selangor dengan memperkenalkan 45 lori Armroll/RORO (Roll-on/Roll-off) dan imej korporat terkini, sempena pelaksanaan kontrak baharu Perkhidmatan Pembersihan Awam (PPA) bersama Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).

Kontrak bernilai RM18.7 juta setahun berkuat kuasa 1 Sept 2025 hingga 31 Ogos 2032 itu merangkumi peluasan liputan perkhidmatan daripada 34 zon kepada 45 zon seiring dengan pertambahan penduduk serta pembangunan pesat di daerah berkenaan.

Setiap zon akan dilengkapi sebuah lori khusus bagi kutipan sampah pukal bagi memastikan operasi lebih lancar dan pengurusan sisa pepejal dilaksanakan secara lebih teratur serta menyeluruh.

Selain kutipan sampah pukal, skop perkhidmatan KDEBWM turut merangkumi pemotongan rumput, sapuan di kawasan perumahan, komersial dan jalan persiaran, pembersihan longkang, kutipan sampah kebun, longgokan haram, serta pembersihan pasar awam, pasar malam, perhentian bas dan perangkap sampah.

Yang Dipertua MPHS Julaihah Jamaludin berkata pelaksanaan kontrak tujuh tahun itu memberi kesinambungan kepada kerjasama yang telah terjalin sejak 2018, sekali gus memastikan penduduk menikmati perkhidmatan yang konsisten dan lebih baik.

“Meskipun pihak berkuasa tempatan berdepan cabaran kenaikan kos operasi, rundingan dengan KDEBWM berjaya menghasilkan nilai kontrak yang seimbang dan mampu ditanggung.

“Ini sangat penting kerana Hulu Selangor kini menjana purata 5,000 hingga 6,000 tan sisa sebulan yang dihantar ke tapak pelupusan di Sungai Sabai dan Bukit Tagar, dan jumlah berkenaan dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu di sini hari ini.

Julaihah berkata kebersihan awam harus dikekalkan di bandar itu bagi mengekalkan imej Hulu Selangor sebagai destinasi pelancongan yang bersih, indah dan berdaya saing.

Sementara itu, Pengarah Urusan KDEBWM Datuk Ramli Mohd Tahir berkata syarikat milik penuh kerajaan negeri itu melabur hampir RM9 juta bagi pembelian 45 lori baharu, masing-masing berkapasiti 7.5 tan dengan casis dari Jepun.

“Dengan penggunaan 45 lori ini, KDEBWM mampu mengutip antara 180 hingga 360 tan sampah pukal sehari bergantung kepada bilangan perjalanan, selain menyokong operasi pembersihan awam yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata lori baharu itu juga menggunakan teknologi Euro 4 dan Euro 5 yang mengurangkan pelepasan karbon dioksida berbanding model lama, sekali gus lebih mesra alam dan menjimatkan bahan api.

“Kita mahu melaksanakan tugas pembersihan tanpa menjadi punca pencemaran, memelihara kualiti udara dan alam sekitar khususnya di kawasan Hulu Selangor yang kaya dengan khazanah semula jadi,” katanya sambil menambah KDEBWM kini mengoperasikan lebih 1,550 lori pelbagai jenis di seluruh Selangor.

Dalam pada itu, Ramli berkata KDEBWM sentiasa bersedia menghadapi bencana banjir dan cuaca ekstrem berikutan peralihan monsun yang sedang melanda, dengan pasukan operasi bersiap siaga 24 jam bersama aset logistik seperti lori, jentera pengorek dan pekerja lapangan.

“Pengalaman mengurus banjir besar pada 2021 membuktikan kemampuan kami apabila hampir 48,000 tan sisa dibersihkan dengan kos operasi sekitar RM12 juta yang ditanggung bersama kerajaan negeri,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan