JENAYAH & MAHKAMAH

Wujud Budaya "MA' Di Asrama, Zara Qairina Mungkin Dipanggil Senior Dalam Perjumpaan Haram - Saksi

12/09/2025 04:21 PM

KOTA KINABALU, 12 Sept (Bernama) -- Seorang pengawal keselamatan mengesahkan wujudnya budaya dikenali sebagai ‘MA’, iaitu sesi perjumpaan antara pelajar senior dan junior, di asrama perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar.

Saksi keenam prosiding inkues, Linah Mansoding @ Jaliha, 65, berkata beliau tidak menolak kemungkinan pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir, turut dipanggil menghadiri sesi berkenaan.

Katanya, pada awalnya beliau tidak mengetahui makna istilah ‘MA’, namun kemudian memahami maksudnya selepas dijelaskan oleh pelajar asrama terbabit.

Linah, ibu kepada empat anak, memberi keterangan berhubung perkara itu ketika disoal peguam keluarga Zara Qairina, Shahlan Jufri, pada hari ketujuh prosiding inkues.

“Saya pun tidak faham mula-mula ‘MA’ ini apa, tanya budak-budak baru mereka terangkan. Selalunya, senior panggil junior, tujuannya untuk teguran dan nasihat, tidak hormat, limpas (lalu) pun tidak senyum, itulah macam dia orang bagi nasihat kepada adik-adik. Jangan begitu, jangan begini,” katanya sambil menambah, budaya itu telah dilarang dan diharamkan.

Shahlan: Istilah ‘MA’ ini –Mesyuarat Agung kah?

Linah: Itu saya tidak tahu, saya tahu ‘MA’ sahaja.

Shahlan:Tadi, puan ada beritahu ‘MA’ ni diharamkan oleh sekolah?

Linah: Bukan dilarang di sekolah, di asrama sahaja.

Shahlan: Kenapa dilarang dan diharamkan?

Linah: Kerana pelajar senior bertindak sesuka hati. Mereka tidak dibenarkan memanggil junior sesuka hati. Kalau ada kesalahan, lapor kepada cikgu dan cikgu yang akan menasihat. Sepatutnya cikgu yang panggil, bukan senior. Itu pun cikgu tidak tahu mereka buat begini.

Shahlan: Sesi sekolah 2025 baru bermula bulan Mac, bila kali terakhir, puan dengar mengenai ‘MA’?

Linah: Macam tiada, lama sudah.

Shahla: Ada kemungkinan, Zara Qairina kena ‘MA’ disebabkan tuduhan mencuri?

Linah: Mungkin.

Ketika ditanya berapa kali beliau memberi keterangan kepada polis berhubung kes Zara Qairina, saksi menjawab “tujuh kali”.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai.

Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan pihak polis, manakala sebelum itu pada 8 Ogos AGC mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan