EKONOMI

Malaysia Seru ASEAN Perkukuh Sokongan Kepada Perniagaan Inklusif - TPM Zahid

11/09/2025 10:59 PM

PETALING JAYA, 11 Sept (Bernama) -- Malaysia telah mencadangkan penubuhan rangka kerja yang diperlukan di peringkat ASEAN bagi menggalakkan perniagaan inklusif (IB), kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya inisiatif itu termasuk pembiayaan yang menjangkau golongan kurang mendapat perkhidmatan kewangan, dasar yang memberi ganjaran kepada model inklusif, peraturan yang mengurangkan halangan dan pembangunan bakat untuk melahirkan juara masa depan.

Ahmad Zahid berkata keperluan kepada tindakan segera ini adalah jelas memandangkan 350 juta penduduk di Asia Tenggara masih tidak mempunyai akses kepada kredit manakala 39 juta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdepan jurang pembiayaan sehingga US$300 bilion (US$1=RM4.21).

“Atas semangat inilah saya akan melancarkan Rangka Kerja Pembangunan Kapasiti dan Bakat untuk IB di ASEAN tidak lama lagi.

“Ini adalah panduan praktikal bagi membantu kementerian dan agensi memperkukuh ekosistem IB serta menyepadukannya dalam strategi kebangsaan,” kata beliau dalam ucapan pada Majlis Anugerah Perniagaan Inklusif ASEAN 2025 di sini malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.

Majlis Anugerah Perniagaan Inklusif ASEAN yang diadakan bersempena Forum Perniagaan Inklusif ASEAN kelapan adalah pencapaian penting dalam perjalanan ASEAN ke arah masa depan yang lebih inklusif dan mampan.

Majlis itu turut memberi pengiktirafan kepada 10 syarikat cemerlang daripada seluruh ASEAN yang telah menerapkan model perniagaan inklusif dalam operasi mereka dan menunjukkan kaedah perniagaan mendapat keuntungan di samping meningkatkan taraf hidup masyarakat berpendapatan rendah dan kurang mendapat perkhidmatan kewangan.

Sementara itu, Ahmad Zahid menekankan bahawa setiap negara anggota ASEAN mempunyai keadaan dan keupayaan tersendiri, dan dasar yang mengabaikan aspek ini berisiko tidak berjaya untuk membantu golongan sasaran.

“Disebabkan inilah penglibatan semua pihak berkepentingan amat penting. Kami perlu mendengar suara petani, peniaga, usahawan wanita dan pemimpin belia.

"Keterangkuman tidak bermula dalam mesyuarat atau persidangan besar; ia bermula di kampung, bandar dan komuniti di seluruh ASEAN," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan