AM

Hari Malaysia: Pemilihan Pulau Pinang Sebagai Tuan Rumah Cerminkan Signifikan Sejarahnya – Mohamad Fauzi

09/09/2025 03:51 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia tahun ini dibuat berikutan faktor sejarahnya yang signifikan serta sesuai untuk memperingati detik penting negara itu, kata Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.

Beliau berkata berdasarkan sejarah, Pulau Pinang bersama Melaka dan Singapura pernah membentuk Negeri-negeri Selat sebelum kemerdekaan yang memainkan peranan penting sebagai pelabuhan utama dan strategik di rantau ini.

Menurutnya, pemilihan Pulau Pinang juga selaras dengan dasar kerajaan sejak 2020 yang menetapkan sambutan Hari Malaysia dianjurkan secara bergilir antara negeri-negeri di seluruh negara, selepas diadakan di Sabah tahun lalu, Sarawak (2023) dan Melaka (2022).

“Antara acara wajib dan tumpuan pastinya sesi menandatangani Buku Istiadat Malaysia. Buku ini disimpan secara bergilir oleh Arkib Negara negeri tuan rumah.

“Tahun ini, Arkib Sabah akan menyerahkannya kepada Pulau Pinang. Buku itu akan ditandatangani oleh Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak,” katanya ketika ditemu bual sebuah stesen radio tempatan sempena persiapan sambutan itu, hari ini.

Mohamad Fauzi menjelaskan bahawa Hari Malaysia bukan sekadar cuti umum, sebaliknya memperingati tarikh bersejarah 16 Sept 1963 apabila Malaysia diisytiharkan

“Idea pembentukan Malaysia dicetuskan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, pada Mei 1961, melibatkan cadangan gabungan Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu.

“Harapan saya, rakyat berbangga dengan apa yang kita lakukan untuk negara. Hari Malaysia bukan hanya cuti umum, tetapi simbol perpaduan dan tanggungjawab bersama,” katanya.

Sambutan Hari Malaysia 2025 akan diadakan di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena, Pulau Pinang pada 16 Sept ini dengan pengisian acara dibahagikan kepada lima segmen utama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan