AM

MADA Berpotensi Peroleh Kawasan Baharu, Dibangunkan Bawah Jenama MADA Plus

08/09/2025 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) merancang membuka kawasan baharu tanaman padi, dikenali sebagai MADA Plus, bagi menggantikan sawah sedia ada yang terlibat dalam pembangunan negeri.

Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh berkata langkah itu selaras dengan Rancangan Struktur Negeri Kedah 2035 dan pelan pembangunan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) yang melibatkan lebih 15,000 hektar kawasan tanaman padi. 

“MADA Plus ini ialah (kawasan) luar (seliaan) MADA dan skim pengairannya di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Kita telah memohon melibatkan 39 (kawasan) skim berjumlah 10,038.4 hektar.

“Daripada jumlah itu, lima skim seluas 1,531.4 hektar kini sudah berada pada peringkat akhir kelulusan Exco,” katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan Forum Pengairan Dunia ke-4 (WIF4), Mesyuarat Kumpulan Penasihat Peringkat Tinggi Ketiga dan Mesyuarat Majlis Eksekutif Antarabangsa ke-76, di sini hari ini.

Menurut Ismail, kawasan utama seperti Jitra, Kubang Pasu, Kota Setar dan Yan yang kini menjadi pusat tanaman padi bakal terlibat dalam pembangunan kerajaan negeri, namun MADA melihat potensi kawasan baharu di luar seliaan sedia ada termasuk di Pokok Sena, Kubang Pasu serta beberapa lokasi lain sebagai pengganti. 

Semalam, MADA memaklumkan hampir 10,000 hektar kawasan tanaman padi di bawah seliaan lembaga itu dikenal pasti berpotensi ditukar kepada pembangunan lain termasuk perumahan dan industri.

Ketika ini, MADA memiliki kira-kira 100,000 hektar kawasan tanaman padi dan sedang giat meluaskan kawasan tanaman, termasuk di luar kawasan tradisi.

Sabtu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan Persekutuan bersetuju menukar status kawasan tanaman padi di beberapa bandar utama di Kedah bagi tujuan pembangunan perumahan dan industri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan