BERITA TERGEMPAR | Earthquake: 15 government buildings in Segamat suffered minor damage, estimated repair cost is RM550,550 - Ahmad Maslan | |
PARIT, 8 Sept (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) melancarkan Kempen Keselamatan Elektrik yang menyasarkan pesawit, pesawah dan orang awam bagi menangani isu kemalangan akibat renjatan elektrik di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata TNB mewujudkan inisiatif itu untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat tentang cara yang selamat bekerja berhampiran dengan talian elektrik.
“Berdasarkan data yang dikumpulkan, sebanyak 81 peratus atau 84 kes kemalangan elektrik orang awam dan haiwan ternakan pada 2021 hingga April 2025 melibatkan infrastuktur TNB, khususnya di kawasan talian elektrik. Kebanyakan insiden berpunca daripada aktiviti orang awam berhampiran talian elektrik, contohnya mengait kelapa sawit menggunakan galah panjang.
“Talian TNB ini memang ada yang merentasi kawasan ladang atau kebun dan keadaan ini memang sepatutnya tidak ada apa-apa masalah, cuma apabila kita bercakap soal risiko terdapat bahaya jika mereka (pesawit dan pesawah) tidak berhati-hati melintas di bawah talian elektrik ketika ingin bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan,” katanya yang ditemui selepas melancarkan kempen itu di Dewan Felcra Nasaruddin Belia Bota, Perak.
Mengambil kira keadaan berkenaan, beliau berkata pihak TNB melihat terdapat keperluan mengadakan kempen itu di setiap negeri untuk memberi kefahaman kepada kumpulan sasaran mengenai risiko talian elektrik seterusnya mengurangkan jumlah kemalangan pada masa hadapan.
Turut hadir Pengarah Negeri Felcra Berhad Perak M. Zaiful Anuar Zulkifli, Pengarah Bahagian Pengembangan Pekebun Kecil dan Pensijilan Lembaga Minyak Sawit Malaysia Dr Mohd Hefni Rusly, Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Stakeholder TNB Datuk Shamsul Ahmad, Ketua Pegawai Kelestarian TNB Leo Pui Yong serta Pengarah Jabatan Perancangan dan Komunikasi Strategik Suruhanjaya Tenaga Rumaizi Abdul Halim.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata inisiatif kesedaran literasi tenaga iaitu Malaysia Energy Literacy Programme (MELP) yang dimulakan oleh TNB sebelum diangkat ke kementeriannya, merupakan usaha menghimpunkan pelbagai aspek literasi tenaga seperti kecekapan tenaga, keselamatan elektrik, peralihan tenaga dan pemahaman tarif sebagai satu rujukan bersama.
“Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof selaku Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air telah merasmikan dan melancarkan laman sesawang MELP ini ketika himpunan bulanan di peringkat kementerian,” katanya.
Beliau juga berharap laman sesawang yang menghimpunkan pelbagai inisiatif berkaitan literasi tenaga itu akan memberi manfaat kepada masyarakat kerana pemahaman yang baik berkaitan elektrik akan membantu rakyat membuat keputusan bijak.
Sementara itu, seorang peneroka Felcra Mohd Yusof Mat Hussain, 64, mengakui pengetahuannya tentang risiko talian elektrik sebelum ini tidak menyeluruh namun selepas menghadiri kempen tersebut kefahamannya berkaitan risiko dan bahaya elektrik bertambah baik.
“Setakat ini saya tidak pernah mengalami situasi bahaya di ladang tetapi ada berlaku di rumah, dengan adanya kempen ini pengetahuan saya tentang tenaga elektrik dan bahayanya semakin bertambah.
“Jadi kepada rakan-rakan (peladang) di sini dan di luar sana, kalau ada program seperti ini sila hadirkan diri untuk kita mendapat ilmu ataupun pengetahuan tentang bahaya elektrik bagi mengelakkan sebarang kemalangan tidak diingini,” katanya yang lebih 40 tahun mengusahakan ladang sawit bersama Felcra.
Seorang penyelia traktor Pertubuhan Peladang Negeri Perak Mohamad Azmirul Hakimi Azmi, 20, pula berkata pesawah dan peladang perlu diingatkan supaya lebih berwaspada ketika bekerja berhampiran talian elektrik di sawah dan ladang.
“Macam kami membajak sawah di bawah talian api (elektrik), mereka (TNB) ada pesan jangan rapat dengan kawasan itu sebab bahaya dan perlu elak, jadi kebanyakan kami tidak lalu di bawah pencawang dan ketika hujan kami semua akan berhenti membajak,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai MELP, sila layari www.melp.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial