PUTRAJAYA, 7 Sept (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 37 individu warga asing dalam serbuan di sebuah hotel yang dijadikan pusat pelacuran di ibu negara, pada 5 Sept.
Ketua Pengarah JIM Datuk Zakaria Shaaban berkata 18 daripada yang ditahan itu warga Indonesia termasuk seorang lelaki, sembilan wanita Thailand, enam wanita Vietnam, dua lelaki Myanmar dan masing-masing seorang wanita dan lelaki dari Laos dan India, berusia antara 19 hingga 61 tahun.
Beliau berkata semakan awal mendapati seramai enam wanita Thailand, tiga wanita Vietnam, dua wanita Indonesia dan seorang wanita warganegara Laos, telah menyalahgunakan pas masing-masing manakala lelaki Indonesia dikesan tinggal lebih masa.
“Sementara itu, dua lelaki Myanmar, seorang lelaki India, 15 wanita Indonesia dan masing-masing tiga wanita Vietnam dan Thailand, didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, pasukan operasi telah menyita salinan perjanjian kerja, enam pasport Thailand, masing-masing tiga pasport Vietnam dan Indonesian dan Laos (1).
Modus operandi yang digunakan adalah dengan menjadikan premis hotel tiga bintang sebagai pusat pelacuran warga asing.
“Pelanggan boleh memilih wanita yang ingin dilanggan berdasarkan gambar pada aplikasi ‘whatsapp atau secara datang terus, manakala kadar bayaran yang dikenakan sebanyak RM250 hingga RM400 bagi setiap jam dan dipercayai telah beroperasi sejak September tahun lepas,” katanya.
Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut dan tujuh lelaki tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
Sementara itu, dalam operasi berasingan pada 6 Sept, pihaknya menahan 21 wanita Myanmar di premis pusat hiburan di Nilai, Negeri Sembilan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan yang sah.
“Bertindak atas maklumat risikan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke premis hiburan dan berjaya menahan seorang perempuan Myanmar yang disyaki ‘penjaga premis’. Turut ditahan 20 perempuan Myanmar yang disyaki bekerja sebagai ‘gadis pelayan’. Kesemua yang ditahan berusia antara 25 hingga 40 tahun,” katanya.
Zakaria berkata pasukan operasi telah menyita buku catatan urus niaga dan tujuh unit telefon bimbit.
“Modus operandi yang digunakan adalah dengan menjadikan premis perniagaan sebagai pusat hiburan yang diuruskan oleh warga Myanmar.
“Premis hiburan ini hanya beroperasi pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sahaja dan hanya menerima pelanggan warga Myanmar dan pelanggan diwajibkan memesan minuman keras bagi memasuki pusat hiburan ini, dan turut ditawarkan gadis pelayan warga Myanmar dengan bayaran sebanyak RM150 hingga RM200 setiap seorang,” katanya.
Beliau turut memaklumkan premis hiburan itu dipercayai telah beroperasi selama tiga bulan dan semakan awal mendapati lapan daripada mereka telah tinggal lebih masa, manakala 13 yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut dan lima lelaki serta seorang wanita Myanmar diberi notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial