KUANTAN, 6 Sept (Bernama) -- Karnival Kita MADANI Peringkat Negeri Pahang 2025 bakal berlangsung esok di Dewan Sri Ketumbit, Kerdau, Temerloh dengan pelbagai pengisian menarik menanti pengunjung.
Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Pahang dengan kerjasama Komuniti MADANI Daerah Temerloh itu dijangka menarik kehadiran kira-kira 1,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat.
JAPEN dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara aktiviti yang akan diadakan termasuk pameran perkhidmatan kerajaan dan agensi swasta, Jualan Rahmah Bergerak, jualan produk Komuniti MADANI, pertandingan busana kreatif peringkat kebangsaan, Fun Walk dan sukaneka rakyat.
Selain itu, turut diadakan cabutan bertuah bernilai lebih RM2,000, pertandingan karaoke kenegaraan serta pertandingan mewarna kanak-kanak.
Pengarah JAPEN Pahang Rohani Chik berkata penganjuran karnival itu menjadi platform lebih santai dan mesra bagi membina hubungan erat antara pemimpin dan rakyat.
“Karnival ini mampu memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya, selain menerapkan nilai-nilai murni,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata karnival berkenaan terbuka kepada seluruh masyarakat negeri Pahang khususnya warga Temerloh, dengan harapan dapat menyemarakkan lagi semangat cintakan negara selain mengukuhkan keharmonian rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial