SIBU, 6 Sept (Bernama) -- Program Kampung Angkat MADANI bukan sekadar inisiatif pembangunan fizikal, sebaliknya turut memberi penekanan kepada pemberdayaan komuniti sebagai ejen perpaduan.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata pendekatan itu mampu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan, kemampanan dan keterangkuman.
“Setakat ini, 43 kampung menerima manfaat program berkenaan pada 2024. Bagi 2025, kerajaan menyasarkan peluasan kepada 200 kampung dengan peruntukan RM200 juta, iaitu maksimum RM1 juta setiap kampung,” katanya ketika merasmikan program itu di Kampung Sungai Balingiau, Rumah Awin Bajeng, Kanowit, hari ini.
Menurutnya Kampung Sungai Balingiau dipilih kerana potensinya untuk menjadi model pembangunan komuniti luar bandar secara holistik dan bersepadu.
Antara projek yang dilaksanakan di kampung itu termasuk pemasangan papan tanda Kampung Angkat MADANI; menaik taraf jalan masuk ke Sekolah Kebangsaan Nanga Balingiau; pembinaan laluan pejalan kaki ke sekolah; serta menaik taraf jalan utama ke Rumah Sandai dan Rumah Awin.
Projek turut meliputi pembinaan tandas awam di Rumah Sandai dan Rumah Awin; menaik taraf jambatan besi ke Rumah Awin; menaik taraf gelanggang futsal di Rumah Panjang Lika; serta pelaksanaan program kemasyarakatan bersama penduduk setempat.
Keseluruhan projek dijangka siap pada akhir November depan.
Aaron, yang juga Ahli Parlimen Kanowit, menggesa penduduk memanfaatkan sepenuhnya inisiatif berkenaan dengan menjaga kemudahan awam, menggerakkan aktiviti komuniti dan menyokong program kerajaan sebagai pemangkin perpaduan di peringkat akar umbi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial