KEPALA BATAS, 6 Sept (Bernama) -- Pusat Sehenti Tenaga Kerja Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang menempatkan semua perkhidmatan utama kementerian di bawah satu bumbung akan diperluas ke seluruh negara pada akhir tahun ini.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong berkata pusat itu adalah bagi memudah cara penyampaian perkhidmatan yang ditawarkan oleh KESUMA kepada pekerja, majikan dan kesatuan tanpa perlu berulang-alik ke pelbagai lokasi.
Beliau berkata empat Pusat Sehenti Tenaga Kerja KESUMA telah diwujudkan secara rintis iaitu di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Kota Kinabalu.
“Setakat ini, sambutan agak baik tetapi kita biarkan ia matang dahulu... hingga hujung tahun ini kita akan perhatikan, dan kalau dah mantap operasi pusat tenaga kerja maka kita akan perluaskan ke negeri lain di seluruh negara,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Bertam hari ini.
Antara agensi yang terlibat dalam pusat sehenti ialah Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Jabatan Tenaga Manusia, Mahkamah Perusahaan Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara serta Talent Corporation Malaysia Berhad.
Sim turut mengumumkan bahawa Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) akan melaksanakan Kursus Train-The-Trainer secara percuma untuk melahirkan 100 pakar latihan dalam bidang Perhubungan Industri bagi memperkukuh keupayaan institusi dan memberi pendedahan bermanfaat kepada kesatuan sekerja di seluruh negara.
Beliau berkata kursus itu ditawarkan khususnya kepada pengamal perusahaan industri daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS) bagi tujuan peningkatan kemahiran.
Selain itu, Sim mengumumkan kelulusan bantuan kewangan berjumlah RM100,000 kepada MTUC bagi tahun ini susulan permohonan rasmi yang diterima daripada kesatuan berkenaan pada 22 Ogos lepas.
Terdahulu, beliau menyampaikan lima anugerah sebagai tanda penghargaan kepada tokoh dan kesatuan sekerja yang telah banyak menyumbang dalam memperjuangkan kepentingan pekerja di negara ini.
Presiden CEUPACS Datuk Dr Adnan Mat dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Menteri Sumber Manusia manakala Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang menerima Anugerah Tokoh Kesatuan Sekerja.
Selain itu, Kesatuan Kakitangan Kumpulan Sokongan Hal Ehwal Islam Jabatan Agama Islam Perak (KESOJA) menerima Anugerah Kesatuan Sekerja Contoh (Sektor Awam), Kesatuan Pekerja-Pekerja Air Kelantan Sdn Bhd menerima Anugerah Kesatuan Sekerja Contoh (Sektor Swasta) dan Anugerah Kesatuan Sekerja Contoh Sektor Badan Berkanun diberikan kepada Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Sokongan Lembaga Hasil Dalam Negeri Semenanjung Malaysia (KEJASA).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial