AM

Malaysia Akan Pertimbang Alternatif Lain Berikutan Ketidaktentuan Terima Pesawat F/A-18 Legacy Hornet

06/09/2025 01:24 PM

JOHOR BAHRU, 6 Sept (Bernama) -- Malaysia akan mempertimbangkan pilihan lain bagi memenuhi keperluan pertahanan udara negara susulan kelewatan penghantaran pesawat pejuang F/A-18 Legacy Hornet dari Kuwait, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata perkara itu timbul susulan ketidaktentuan mengenai penerimaan pesawat baharu oleh Kuwait daripada Amerika Syarikat, sekali gus menyebabkan penyerahan pesawat kepada Malaysia masih tertangguh.

“Saya difahamkan bahawa penghantaran jet-jet baharu Kuwait daripada Amerika telah ditangguhkan lagi. Justeru, kita tidak boleh menunggu tanpa kepastian kerana Kuwait hanya boleh menyerahkan F/A-18 itu selepas mereka menerima pesawat baharu.

“Kalau mereka tidak dapat, maka mereka tidak boleh serah kepada kita. Jadi di sinilah timbul masalah berapa lama kita boleh tunggu untuk memenuhi keperluan kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Penyampaian Sumbangan Zakat Wakalah BHPetrol di Dewan Muafakat Taman Air Biru, di sini hari ini.

Beliau berkata justeru, pihaknya kini sedang meneliti pilihan lain agar Malaysia tidak berada dalam kedudukan yang merugikan, termasuk menilai pesawat yang tersedia di pasaran.

“Kalau kita tunggu sahaja, kita tidak akan buat apa-apa untuk pertimbangkan benda lain. Jadi di sinilah kita fikirkan kita perlu ada pilihan lain supaya kita tidak berada dalam keadaan yang tidak berpihak kepada kita,” katanya.

Pada 26 Ogos, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Datuk Seri Muhammad Norazlan Aris dilaporkan berkata pihaknya sedang meneliti setiap aspek, sebelum membuat keputusan muktamad rancangan pembelian jet pejuang F/A-18 Hornet terpakai dari Kuwait.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa perjanjian itu telah dibatalkan, sambil menegaskan bahawa semua pertimbangan masih dalam proses penilaian ketika ini.

Sementara itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, pembelian 18 jet pejuang FA-50 daripada Korea Aerospace Industries (KAI) yang bakal diterima pada 2027 dijangka akan menampung keperluan pengoperasian TUDM.

“Selain itu, kita juga akan melihat kemampuan jet pejuang Sukhoi MKM yang dimiliki ketika ini, sama ada ia mencukupi untuk keperluan pertahanan negara.

“Kajian terperinci perlu dibuat kerana bermula 2027, semua pesawat tempur ringan, Hawk 108 dan Hawk 208, akan ditamatkan perkhidmatan secara berfasa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan