AM

Warga Emas Terjemah Semangat Cintakan Negara Melalui Amalan Kitar Semula

06/09/2025 09:41 AM

KANGAR, 6 Sept (Bernama) -- Semangat cintakan negara tidak hanya dizahirkan dengan mengibar Jalur Gemilang atau menyanyikan lagu bersifat patriotik tetapi boleh juga melalui perbuatan menjaga kebersihan dan memulihara alam sekitar. 

Itulah yang dilakukan seorang warga emas, Nordin Nayan, 70, dari Kampung Wang Besar di sini apabila menjadikan amalan mengutip barangan yang boleh dikitar semula sebagai rutin kehidupannya sejak lebih 30 tahun lepas.

Penjual akhbar di Pasar Besar Sena di sini itu berkata perbuatan tersebut dilakukan bukan didorong oleh duit semata-mata tetapi lebih kepada sikapnya yang memang suka dengan persekitaran bersih selain demi kelestarian serta sumbangan kecilnya kepada tanah air. 

 "Saya buat ini sebab saya nak tengok persekitaran yang bersih, jadi saya akan kutip barang terbuang seperti kotak, tin susu, botol air mineral dan besi. Saya akan pergi ke kawasan seperti pasar malam atau tong sampah besar untuk kutip sisa yang boleh dikitar semula.

“Selain itu, kalau dalam perjalanan dari rumah ke tempat berniaga di Pasar Besar Sena, saya ternampak sampah saya akan kutip kerana tidak boleh tengok sampah bertebaran merata tempat,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Warga emas itu berkata sumbangan tersebut mungkin dilihat kecil dan tidak meninggalkan kesan bagi sesetengah orang tetapi jika ramai dalam kalangan rakyat Malaysia mengamalkan sifat seperti itu, dia yakin Malaysia akan menjadi sebuah negara yang bersih.

Nordin berkata secara purata dia boleh mengutip barangan kitar semula antara 100 hingga 200 kilogram (kg) dalam tempoh dua minggu dengan anggaran pendapatan kira-kira RM50 setelah dijual kepada pusat pengumpulan barangan kitar semula di sini.

Sementara itu, Ketua Divisyen Operasi E-Idaman Sdn Bhd, Munir Amani Dasheer menyifatkan peranan pengutip barang kitar semula seperti dilakukan warga emas itu secara langsung membantu dalam penjagaan kebersihan kawasan setempat.

Munir Amani berkata budaya kitar semula juga mencerminkan nilai murni masyarakat yang bertanggungjawab, beretika dan menghargai kelestarian alam selain menggambarkan sikap patriotik serta cinta mereka kepada tanah air.

"Usaha mereka sebenarnya secara tidak langsung mencerminkan semangat patriotik, cintakan tanah air melalui pemeliharaan alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang. Justeru, mereka wajar di dihargai dan diberi sokongan," katanya.

Beliau berkata Nordin mendapat tempat pertama kategori kitar semula semasa Sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang berlangsung di Perlis pada 2024.

"Anugerah itu berdasarkan jumlah pengumpulan barangan kitar semula tertinggi selain penghargaan terhadapnya yang menyumbang kepada usaha pemuliharaan alam. Pada masa sama, dia juga mampu menjana pendapatan sampingan demi kelangsungan hidup.

“Konsep inilah yang kami terapkan melalui pembukaan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC). Mencipta peluang kepada penduduk setempat untuk menjana pendapatan sampingan melalui penjualan barangan kitar semula," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan