JENAYAH & MAHKAMAH

Guna Wang Syarikat, Pemandu Lori Reka Cerita Ditikam

05/09/2025 08:47 PM

GEORGE TOWN, 5 Sept (Bernama) -- Pemandu lori makanan sejuk beku yang mendakwa ditikam dalam kejadian samun di Jalan Minden 1 Gelugor di sini semalam rupa-rupanya hanya mereka cerita itu bagi menutup perbuatannya menggunakan wang hasil jualan syarikat berjumlah RM3,000.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata penipuan lelaki berusia 32 tahun itu terbongkar selepas siasatan dilakukan susulan laporan orang awam pada 8.17 malam.

Beliau berkata pemandu lori terbabit dikatakan telah disamun oleh tiga lelaki dan ditikam di bahagian perut pada 7.45 malam.

Abdul Rozak berkata siasatan awal mendapati lelaki itu mengalami luka tikaman sedalam 3.5 sentimeter dan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Bagaimanapun, beliau berkata siasatan lanjut mengesahkan lelaki itu sebenarnya bukan disamun dan ditikam tetapi mereka cerita kejadian tersebut untuk menipu majikan kerana telah membelanjakan kutipan hasil jualan produk syarikat.

Sehubungan itu, Abdul Rozak menasihati orang ramai agar tidak membuat laporan atau memberi maklumat palsu kerana ia merupakan satu kesalahan dan boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan