AM

Gudang Bateri Lama Terbakar Di Tanjung Minyak

05/09/2025 08:58 PM

MELAKA, 5 Sept (Bernama) -- Sebuah gudang menyimpan bateri lama di Kawasan Perindustrian Tanjung Minyak di sini terbakar tengah hari tadi.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu Ahmad Nyat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.49 tengah hari sebelum menggerakkan pasukan untuk operasi pemadaman.

“Kebakaran melibatkan keluasan 50 x 50 kaki persegi daripada keseluruhan gudang berukuran 150 x 150 kaki persegi dengan anggaran 60 peratus kemusnahan dan difahamkan gudang itu sebelum ini telah disita Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Beberapa letupan kecil turut berlaku di lokasi namun tiada mangsa dilaporkan manakala kebakaran berjaya dikawal pada 2.58 petang dan operasi tamat kira-kira 6.51 petang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad berkata sebanyak 26 anggota dengan kekuatan lima jentera dikejarkan ke lokasi dengan bantuan BBP Cheng, Melaka Tengah dan Alor Gajah.

Beliau berkata siasatan awal mendapati bahan terbakar ialah bateri yang mengandungi bahan kimia sangat reaktif terhadap air, menyebabkan pasukan bomba melaksanakan kaedah bagi mengelakkan tindak balas berbahaya.

Katanya cabaran utama adalah semasa proses ‘overhaul’ kerana dikhuatiri wujud gas berbahaya tidak dikenal pasti.

“Pasukan HAZMAT dan CBRNe (kimia, biologi, radiologi, nuklear dan bahan letupan) dikerahkan untuk membantu dengan menggunakan teknologi pengesanan jarak jauh,” katanya

Menurutnya pihak bomba mengesan gas ammonia dan semua anggota diarahkan memakai alat pernafasan semasa operasi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan