KUCHING, 5 Sept (Bernama) -- Jangkauan pelancongan Sarawak bakal diperluas ke peringkat global apabila Kuching disenarai sebagai destinasi kelapan di bawah program Bonus Side Trip (BST) oleh Malaysia Airlines.
Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengumuman rasmi akan dibuat di Pameran MATTA Kuala Lumpur MATTA 2025 esok sekali gus menandakan buat julung kalinya sebuah bandar di Kepulauan Borneo menyertai program itu yang direka bagi menggalakkan pelancong antarabangsa meneroka lebih banyak destinasi di Malaysia.
"Program BST membolehkan penumpang yang menaiki pesawat ke Malaysia menggunakan tiket antarabangsa menambah satu destinasi tempatan tanpa bayaran tambahan dan hanya perlu membayar cukai berkaitan.
“Dengan penyertaan Kuching, Sarawak menjadi satu-satunya destinasi di Kepulauan Borneo yang tersenarai dalam program ini sekali gus memperluas jangkauannya melepasi Semenanjung Malaysia,” menurut kenyataan itu.
STB turut memaklumkan majlis pelancaran di MAG Arena, Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) akan menampilkan upacara berjabat tangan antara Ketua Pegawai Eksekutif STB Sharzede Salleh Askor dan Ketua Pegawai Komersial Malaysia Aviation Group (MAG) Dersenish Aresandiran.
Menurut STB, pencapaian itu mencerminkan hasil kerjasama dengan MAG yang dimeterai pada 2024 bagi memperkukuh kesalinghubungan udara dan promosi pelancongan bersama sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menerusi kenyataan sama, Sharzede memaklumkan pencapaian ini menunjukkan bagaimana kerjasama dengan syarikat penerbangan negara mampu mewujudkan peluang sebenar untuk Sarawak dengan memudahkan pelancong antarabangsa memasukkan negeri itu sebagai destinasi dalam perjalanan mereka.
“Menerusi inisiatif ini, Sarawak kini memperluas jangkauan antarabangsa dan memperkukuh komitmennya terhadap pertumbuhan pelancongan mampan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
STB memaklumkan bahawa penglibatan Sarawak pada Pameran MATTA Kuala Lumpur yang bermula hari ini hingga 7 Sept akan menampilkan pelbagai tarikan unik Bumi Kenyalang melalui 19 pempamer, persembahan kebudayaan, demonstrasi langsung dan tawaran pelancongan eksklusif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial