SHAH ALAM, 5 Sept (Bernama) -- Bekas Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) Dr Othman Hamzah dipilih sebagai Tokoh Maulidur Rasul Selangor sempena sambutan Maulidur Rasul 1447H peringkat negeri itu hari ini.
Pengiktirafan itu diumumkan pada majlis yang berlangsung di Dewan Syarahan dan Muzakarah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan menyampaikan anugerah berkenaan kepada Othman, 60, yang turut membawa pulang wang tunai RM20,000, sijil penghargaan berserta trofi.
Terdahulu, keberangkatan tiba baginda pada 11 pagi disambut Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Salehuddin Saidin.
Othman merupakan antara individu yang memberikan sumbangan besar dalam kemajuan dan pembangunan agama Islam di Selangor sejak berkhidmat sebagai guru kontrak pada 1994.
Ketika mengumumkan perkara itu, Penolong Pengarah Seksyen Majlis dan Keraian Unit Korporat Jabatan Agama Islam Selangor Muhamad Ashriq Masri berkata Othman kini dilantik sebagai Profesor Adjung di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di Akademi Pengajian Islam Kontemporari pada 15 Sept 2024.
“Sebanyak 80 karya ilmiah dalam bidang al-Quran, Qiraat, Hadis, Fiqh dan Maqasid Syariah berjaya dikeluarkan antaranya bertajuk Risalah Ulum al-Quran, Panduan Himpunan Qiraat Sepuluh, Hadis & Kepentingan Sanad, Panduan Haji & Umrah serta Maqasid Syar‘iyyah.
“Beliau merupakan antara tiga individu yang diiktiraf oleh Majlis Agama Islam Selangor sebagai ‘Syeikhul Maqari’ pada tahun 1992 dan turut dianugerahkan gelaran yang sama oleh kerajaan Selangor melalui surat lantikan bertarikh 28 Julai lalu,” katanya.
Muhamad Ashriq berkata kepakaran beliau dalam pelbagai bidang serta pengalamannya dalam pengurusan hal ehwal Islam telah berjaya menarik minat sektor swasta dengan kini beliau dilantik sebagai Penasihat Agama di Puncak Niaga Holdings Sdn Bhd.
Dalam pada itu, Othman ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata beliau tidak menyangka hasil kerjanya dinilai dan dihargai serta memanjatkan rasa syukur kepada Allah atas anugerah yang diraihnya.
Bapa kepada tujuh anak itu turut berpesan kepada golongan muda untuk terus menuntut ilmu sehingga ke liang lahad kerana itu merupakan prinsip hidupnya, yang tidak pernah berhenti menuntut ilmu serta menyampaikannya kepada masyarakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial