SUKAN

Malaysia Pamer Mentaliti Pemenang - Cools

05/09/2025 10:28 AM

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Meskipun menang tipis ke atas musuh tradisi, Singapura, dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 malam tadi, kapten Harimau Malaya Dion Cools menyifatkan kejayaan itu sebagai perkembangan positif buat skuad negara.

Pemain pertahanan berusia 29 tahun itu berkata walaupun tidak dapat mengekalkan rekod tanpa bolos, kemenangan dicatat di Stadium Nasional Bukit Jalil itu mencerminkan peningkatan mentaliti kemenangan dalam kalangan pemain dan menjadi asas kukuh untuk penambahbaikan pada masa depan.

“Secara keseluruhannya ia satu perlawanan yang baik. Masih terdapat beberapa aspek boleh diperbaiki dan saya percaya semua orang dapat melihatnya. Namun paling penting ialah kami berjaya membentuk mentaliti pemenang dengan kejayaan dalam perlawanan sebegini.

“Cumanya, kami tidak dapat menjaringkan lebih banyak gol dan gagal mengekalkan rekod bersih tanpa bolos. Namun secara keseluruhan, saya rasa ada asas kukuh dan kami akan mengekalkannya untuk perlawanan akan datang,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam tadi.

Cools berkata ketajaman jentera serangan serta keberkesanan dalam tekanan tinggi akan menjadi aspek penting perlu diperbaiki dalam persiapan Malaysia menghadapi Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Isnin depan.

“Kita perlu lebih tajam di dalam kotak penalti dan cuba lakukan tekanan dengan lebih hebat...saya fikir itu antara aspek yang masih boleh diperbaiki sebagai sebuah pasukan,” kata pemain Cerezo Osaka itu.

Pada aksi malam tadi, Malaysia bermula garang dan mendahului 1-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Stuart Wilkin pada minit ke-26.

Skuad bimbingan Peter Cklamovski menambah jaringan pada minit ke-55 menerusi Joao Figueiredo sebelum Singapura merapatkan jurang menerusi jaringan Ilhan Fandi pada minit ke-72.

Kemenangan itu mengekalkan rekod tanpa kalah Malaysia di bawah bimbingan Cklamovski dalam empat perlawanan kompetitif, selepas meraih dua kemenangan dan satu seri dalam tiga aksi terdahulu sejak beliau membimbing skuad negara awal tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan