AM

Aplikasi MyKasih Permudah Urusan Tebus Penghargaan SARA RM100

05/09/2025 11:28 AM

SHAH ALAM, 5 Sept (Bernama) -- Urusan pembelian barangan keperluan asas menerusi Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 diakui lebih lancar dengan menggunakan aplikasi MyKasih.

Melalui aplikasi ini, pengguna boleh mengimbas dan menyemak barangan di pasar raya bagi memastikan ia tergolong dalam 14 kategori barangan keperluan asas yang disenaraikan kerajaan bagi penebusan inisiatif tersebut.

Roslita Saidin, 51, dari TTDI Jaya berkata semakan awal melalui aplikasi MyKasih bukan sahaja membantu mengelakkan penolakan barangan tidak layak di kaunter tetapi turut mempercepatkan urusan pembayaran.

"Suami saya sudah menggunakan aplikasi MyKasih sebelum ini dan dia ajar saya serba sedikit…tidak susah sebenarnya untuk mengimbas dan menyemak barangan sama ada ia tersenarai untuk SARA atau tidak.

"Kita perlu buat semakan awal setiap barangan yang mahu dibeli kerana kalau tidak masa beratur akan jadi panjang dan mungkin pembelian kita itu ditolak. Dengan menggunakan MyKasih semuanya jadi lebih mudah dan lancar," katanya ketika ditemui Bernama di pasar raya Mydin Mart, Seksyen 13 di sini.

Roslita berkata empat daripada lima ahli keluarganya layak menerima bantuan Penghargaan SARA sekali gus mengurangkan beban pembelian barangan keperluan asas mereka untuk tempoh lebih panjang.

Sementara itu, Adilah Mohd Uzir, 28, pula berkata bantuan khas oleh kerajaan itu meringankan beban keluarganya dalam membeli keperluan asas lebih-lebih dengan kos hidup yang semakin meningkat ketika ini.

Dia berkata keluarganya yang terdiri daripada enam penerima bantuan Penghargaan SARA memilih untuk menggunakan kesemua RM600 itu sekali gus bagi melengkapkan keperluan asas isi rumah mereka.

"Lebih baik dan mudah beli sekali gus tidak perlu ulang-alik ke pasar raya tambahan pula kebanyakan pasar raya sesak ketika ini sebab ramai penerima yang mahu menebus bantuan tersebut," katanya yang tinggal di Seksyen 18.

Mohd Zulfiqal Zainal, 31, pula menyarankan penerima bantuan agar merancang waktu pembelian bagi mengelakkan kesesakan, terutamanya selepas waktu pejabat.

Justeru, dia yang bekerja sebagai jurujual, memilih waktu tengah hari untuk menebus bantuan tersebut kerana yakin ketika itu orang ramai sedang menikmati makan tengah hari.

"Saya pilih waktu tengah hari untuk elak kesesakan. Lepas makan, saya dan isteri terus singgah ke pasar raya dan menebus bantuan yang telah dikreditkan ke dalam MyKad kami dengan pembelian barangan keperluan asas," katanya.

Pada Selasa lepas, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menasihati orang ramai supaya tidak terburu-buru menebus bantuan Penghargaan SARA hingga perlu beratur panjang di kaunter bayaran kerana mereka mempunyai tempoh empat bulan untuk menggunakan kredit tersebut.

Teo berkata orang ramai mempunyai tempoh hingga 31 Dis ini untuk membelanjakan bantuan Penghargaan SARA RM100 sekali beri yang disalurkan Kerajaan MADANI sejak 31 Ogos lepas.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan, kerajaan mengumumkan pemberian sekali beri sebanyak RM100 kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas di bawah program SARA. 

Inisiatif itu memberi memanfaat kepada 22 juta rakyat, melibatkan tambahan RM2 bilion, menjadikan peruntukan keseluruhan bagi pogram Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA tahun ini mencecah RM15 bilion, tertinggi dalam sejarah bantuan tunai negara. 

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan