AM

Pimpinan PKR Dalam GLC Disaran Sumbang Bantuan SARA Kepada B40 - Mustapha

04/09/2025 09:48 PM

KOTA KINABALU, 4 Sept (Bernama) -- Semua pemimpin PKR termasuk yang memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dan Persekutuan disaran memanjangkan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM100 yang diterima mereka kepada golongan yang memerlukan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata pemimpin lain di negeri itu juga digalakkan untuk berbuat perkara sama bagi membantu khususnya golongan B40 di kawasan masing-masing daripada mempertikaikan usaha murni oleh Kerajaan MADANI itu.

“Daripada mempertikaikan usaha murni yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ini, lebih baik ambil peluang yang ada untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Baik kita menambah amal jariah dan pahala dengan menyumbang kepada orang yang lebih memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan SARA miliknya kepada sebuah keluarga B40 di Pasar Raya Bataras di sini hari ini.

Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata penyerahan bantuan itu adalah gimik pelancaran inisiatif pass it forward atau memanjangkan SARA bernilai RM100 kepada golongan yang memerlukan.

Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata selepas pelancaran itu, ketua-ketua cabang PKR Sabah akan turut melaksanakan inisiatif sama di kawasan masing-masing.

Beliau turut menggalakkan rakyat Malaysia terutama golongan M40 dan T20 untuk turut terlibat dalam inisiatif itu dalam usaha menjaga kebajikan mereka yang memerlukan.

Penerima SARA, Wong Kon Foh, 71, berkata sumbangan yang diterima daripada Mustapha pada hari ini amat bermakna untuk keluarganya yang hanya bergantung kepada hasil mengutip tin kosong dengan pendapatan kira-kira RM200 sebulan.

Wong yang menyara dua anak orang kurang upaya (OKU) dan bergantung kepada bantuan kebajikan berkata sumbangan itu akan digunakan sebaiknya bagi membeli barangan keperluan untuk keluarganya. 

Pada 31 Ogos lepas, Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengajak wakil rakyat parti itu dan orang ramai yang berkemampuan untuk pass it forward atau memanjangkan bantuan SARA RM100 yang diterima bagi diberikan kepada golongan memerlukan. 

Bantuan SARA berjumlah RM100 secara sekali beri itu mula disalurkan pada 31 Ogos lepas melalui MyKad yang memberi manfaat kepada 22 juta rakyat dengan peruntukan RM2 bilion.

Semua warganegara berusia 18 tahun ke atas tanpa mengira kategori juga turut menerima bantuan itu dan boleh ditebus secara tanpa tunai di pasar raya terpilih menggunakan MyKad masing-masing.

--BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan