AM

Dewan Negara Lulus Lima RUU Termasuk Bantuan Guaman Dan Pembelaan Awam 2025

04/09/2025 09:01 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan lima Rang Undang-Undang (RUU) termasuk RUU Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 serta RUU Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025.

Tiga yang lain ialah RUU Fi (Feri Pengkalan Kubor) (Pengesahan) 2025, RUU Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2025 dan RUU Kredit Pengguna 2025.

RUU Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas 10 Ahli Dewan Negara membahaskannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan berkata RUU itu bukan sahaja menyediakan bantuan guaman di mahkamah, tetapi juga merangkumi khidmat nasihat guaman kepada yang memerlukan panduan perundangan.

"Keunikan RUU ini ialah kita boleh beri pandangan guaman, maksudnya selain daripada bantuan guaman di mahkamah, kita bagi pandangan guaman iaitu dia (individu) boleh minta pendapat. Mereka boleh minta secara dalam talian dan tidak semestinya kena cari pejabat-pejabat bantuan," katanya.

Namun begitu, Azalina mengakui capaian terhadap perkhidmatan berkenaan masih menjadi cabaran kepada rakyat, khususnya mereka di kawasan luar bandar atau komuniti yang kurang pendedahan terhadap hak perundangan masing-masing.

Beliau berkata kerajaan sedang menambah baik mekanisme penyampaian dan usaha libat urus agar tiada pihak tercicir dalam mendapatkan keadilan, selaras aspirasi Kerajaan MADANI memperkukuh reformasi institusi dan keterangkuman.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025 berkata pengambilan rekod biometrik termasuk 10 cap jari, pengecaman imej dan iris dapat mengurangkan pemalsuan identiti dan pengeluaran dokumen diri yang tepat serta sahih, antara pembaharuan yang dilakukan dalam pindaan itu.

“Ia akan memperlihatkan keberkesanan terhadap perkhidmatan kerajaan, maknanya pengesahan biometrik akan lebih teratur, tepat dan cepat, memudahkan proses semakan identiti individu dalam perkhidmatan kerajaan seperti pemberian subsidi, pendidikan, perubatan dan proses pilihan raya," katanya.

Dengan menambah baik ciri-ciri pangkalan data biometrik itu, katanya ia sekali gus memudahkan pihak berkuasa terlibat menggunakan pengesanan biometrik untuk tujuan keselamatan negara, kawalan sempadan dan pengecaman jenayah membabitkan isu rentas sempadan.

“Dalam penyiasatan jenayah pangkalan data biometrik, data cap jari atau wajah telah digunakan secara meluas untuk mengenal pasti suspek atau hubungkan individu dengan bukti tempat kejadian. Ini menunjukkan sangat penting perubahan dilakukan,” katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung Isnin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan