AM

Khazanah Naskhah Melayu Bukti Hubungan Rapat Kelantan–Terengganu

04/09/2025 10:05 PM

KOTA BHARU, 4 Sept (Bernama) -- Hubungan rapat antara Kelantan dengan Terengganu sejak berabad yang lepas terbukti melalui khazanah naskhah Melayu yang menunjukkan kewujudan jaringan ilmu, adat serta persaudaraan dua negeri jiran di Pantai Timur itu.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata hubungan istimewa itu bukan sahaja berpaksikan bahasa dan budaya, malah turut diperkukuh dengan jaringan ulama, perdagangan dan ikatan kekeluargaan diraja.

"Naskhah Melayu ialah bukti nyata orang Melayu memiliki tradisi intelektual tersendiri dengan mencatat, menyalin serta menyebarkan ilmu secara konsisten sejak ratusan tahun lepas.

"Di Kelantan, kita mempunyai tokoh besar seperti Tok Kenali manakala di Terengganu pula muncul ulama tersohor Tok Pulau Manis yang karya mereka sama ada dalam fiqh, hadis, tasawuf atau syair membuktikan bangsa Melayu tidak hidup dalam kejumudan," katanya ketika berucap pada "Seminar Sejarah Hubungan Kelantan–Terengganu: Berasaskan Naskhah Melayu" di Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra, Panji, di sini hari ini.

Pada seminar berkenaan, Tengku Mohamad Rizam turut melancarkan buku Kelantan: Kitab Mukadimah dan Tawarikh Negeri terbitan MAIK 2025, sebagai kesinambungan usaha memperkukuh pemahaman sejarah dan jati diri rakyat di negeri ini.

Beliau berkata naskhah lama jelas menggambarkan wajah masyarakat lampau, pemikiran serta harapan mereka terhadap masa depan, menjadikan manuskrip itu sebagai cerminan tamadun bangsa.

"Ulama Kelantan sering menuntut ilmu di Terengganu, begitu juga sebaliknya … kitab disalin, naskhah ditukar ganti dan ilmu diperbahaskan di pondok-pondok serta surau.

"Kita bimbang dengan keadaan sebahagian besar naskhah lama yang rapuh, pudar dan hilang daripada simpanan bangsa sendiri, selain kurang dikenali oleh generasi muda," katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata MAIK mengambil inisiatif mendokumentasikan serta mendigitalkan manuskrip berharga itu agar dapat difahami dan diwarisi generasi seterusnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan