KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- AmBank Group akan menyediakan pembiayaan RM780 juta kepada Tanjung Pinang Development Sdn Bhd (TPD), anak syarikat Eastern & Oriental Bhd (E&O), untuk projek Pulau Andaman.
Ambank Group dan E&O melalui satu kenyataan bersama menjelaskan pembiayaan itu adalah untuk menyokong fasa kedua kerja-kerja penambakan serta infrastruktur untuk projek Pulau Andaman.
Fasa kedua projek, yang meliputi kawasan seluas 230.67 hektar yang merupakan sebahagian daripada jumlah keluasan pulau sebanyak 307.56 hektar dan dijangka siap menjelang 2028.
Pengarah Urusan E&O, Kok Tuck Cheong berkata penambakan tanah menelan belanja lebih kurang RM4 bilion.
“Kami masih dalam proses memuktamadkan pelan induk untuk fasa kedua kami kerana tumpuan masih diberikan ke atas fasa pertama buat masa sekarang, Ini tidak bermakna kami tidak akan memulakan fasa kedua serentak dengan aktiviti kami dalam fasa pertama.
“(Dalam fasa pertama) kami telah melancarkan sehingga enam projek (di pulau berkenaan) dengan kos sebanyak RM3 bilion, yang terdiri daripada pembangunan tepi pantai, rumah bertanah, kediaman separuh berkembar dan teres serta kondominium,” katanya kepada sidang akhbar selepas upacara pemeteraian antara Ambank dan TPD di sini hari ini.
Kok berkata seiring dengan kemajuan pelan hala tuju pembangunan tersebut, syarikat itu akan menubuhkan jaringan komersial, yang merangkumi pusat membeli-belah, ruang pejabat, pangsapuri servis, kemudahan pendidikan, kediaman berjenama dan hotel lima hingga enam bintang.
Sokongan pembiayaan dari Ambank akan membantu mengerakkan kemajuan kerja-kerja penambakan dan infrastruktur, memastikan penyiapan yang tepat pada masa.
Beliau menambah projek Pulau Andaman adalah pelan induk selama 30 tahun yang meberikan nilai pembangunan kasar sebanyak RM70 bilion.
“Dengan skalanya, perancangan strategik termasuk komitmen untuk kemampanan, Andaman bukan sahaja akan mentakrifkan semula kehidupan pulau yang bertaraf dunia di Pulau Pinang tetapi akan meletakkan dirinya sebagai destinasi antarabangsa yang mampu menarik pelabur, penduduk dan pelawat dari seluruh dunia.
“Visi kami adalah untuk mewujudkan bandar pulau yang bersemangat, masa depan yang mengimbangi kemajuan dengan alam dan komuniti, meninggalkan warisan untuk generasi yang akan datang,” katanya lagi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial