EKONOMI

Sacofa Bekerjasama Dengan ZTE Modenkan Rangkaian Di Sarawak

04/09/2025 06:52 PM

KUCHING, 4 Sept (Bernama) -- Sacofa, penyedia infrastruktur telekomunikasi negeri Sarawak menjalin kerjasama strategik dengan  ZTE Corporation bagi memodenkan rangkaian infrastrukturnya untuk menyokong pertumbuhan digital masa depan.

ZTE Corporation merupakan penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bersepadu global.

Dalam satu kenyataan hari ini, Sacofa berkata pemodenan rangkaian itu akan memberikan kapasiti ultra-jalur lebar yang boleh diskala menerusi teknologi Jaringan Pengangkutan Optik (OTN) jalur penuh yang mampu menyokong kadar pemindahan data sehingga 1.6 terabit sesaat.

Ia dipertingkatkan dengan kawalan rangkaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk kebolehpercayaan tinggi serta kecekapan spektrum yang optimum.

“Bagi rangkaian pengangkutan teras, ia memanfaatkan pemproses Enhanced Deterministic Networking (EDN) 6-dalam-1 yang menyokong pemajuan data berkelajuan tinggi dengan jaminan kependaman rendah serta prestasi rintangan gangguan (jitter) untuk aplikasi masa nyata,” menurut kenyataan itu.

Di samping itu, peningkatan ini akan memperkukuh penyampaian jalur lebar berskala, mempertingkat prestasi tahap perkhidmatan serta mengoptimumkan kecekapan operasi keseluruhan, katanya.

Inisiatif ini juga disifatkan sebagai pencapaian penting dalam usaha memperkukuh kesalinghubungan digital negeri Sarawak.

Sacofa kini sedang menaik taraf pengangkutan teras, penghalaan dan lapisan optik dengan penyelesaian termaju ZTE. Ia sekali gus menyediakan asas rangkaian yang kukuh dan berdaya tahan untuk prestasi jangka panjang dan kebolehcapaian tinggi.

Pengarah Urusan Sacofa Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib berkata kerjasama dengan ZTE adalah langkah penting ke arah merealisasikan visi kerajaan negeri menerusi Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030 serta Rangka Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030.

“Dengan memodenkan infrastruktur rangkaian, Sacofa berada pada kedudukan terbaik untuk menterjemahkan peningkatan kapasiti dan kebolehpercayaan ini kepada pertumbuhan ekonomi dan kesiapsiagaan operasi yang lebih tinggi. Kemajuan ini menyokong agenda jangka panjang Sarawak dalam aspek digital dan infrastruktur,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan ZTE Malaysia Steven Ge berkata kerjasama ini menggabungkan kepakaran infrastruktur tempatan Sacofa dengan inovasi global ZTE dalam teknologi teras dan pengangkutan optikal.

“Menerusi kerjasama ini, kami membina rangkaian teras digital masa hadapan yang mampu menyokong perkhidmatan 5G, awan (cloud) dan teknologi berasaskan AI, seiring dengan aspirasi Sarawak ke arah ekonomi digital yang dinamik dan inklusif menjelang 2030,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan