KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Sebanyak 13,403 pekerja direkodkan menyertai program Dasar Gaji Progresif (DGP) setakat 31 Ogos, sejak dilaksanakan pada Januari tahun ini.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan 1,167 majikan telah menyertai inisiatif itu sebagai antara usaha memperkukuh struktur pasaran buruh negara melalui gaji lebih adil, mampan dan berdaya saing.
“DGP turut memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dengan pekerja mendapat ganjaran lebih adil manakala majikan menerima sokongan kewangan bulanan daripada kerajaan.
“Ia juga selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam mewujudkan pasaran buruh lebih progresif, inklusif dan mampan melalui kerjasama erat antara kerajaan, Perkeso, majikan serta pekerja,” menurut kenyataan itu.
Perkeso menyeru lebih ramai majikan melaksanakan DGP bagi mengatasi isu kritikal pasaran buruh termasuk kadar kenaikan gaji yang perlahan berbanding produktiviti, ketidakpadanan kemahiran dengan bayaran gaji serta kebimbangan terhadap kos operasi.
Majikan menyertai DGP layak menerima insentif kewangan sehingga 2027 dan menikmati pelbagai manfaat seperti pengurangan kos operasi, pengekalan pekerja sedia ada, tarikan bakat baharu, peningkatan motivasi pekerja serta pengukuhan imej sebagai majikan progresif.
“Inisiatif Kerajaan MADANI yang digerakkan ini turut disertai suntikan insentif kewangan yang telah mencecah lebih RM35 juta sebagai tanda sokongan kepada majikan yang mengambil bahagian dalam DGP,” menurut kenyataan itu.
Perkeso memaklumkan dasar itu memberikan penyelesaian menyeluruh dengan menggalakkan kenaikan gaji seiring kemahiran dan produktiviti, insentif kewangan daripada kerajaan bagi meringankan beban kos operasi dan memberi fleksibiliti kerana penyertaan adalah sukarela.
Maklumat lanjut dan pendaftaran sebagai majikan progresif boleh dilakukan menerusi portal rasmi DGP www.gajiprogresif.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial