AM

RSN Perlis 2040, Perlis Pintar 2030 Pacu Hala Tuju Pembangunan Negeri

04/09/2025 06:21 PM

KANGAR, 4 Sept (Bernama) -- Rancangan Struktur Negeri (RSN) Perlis 2040 (Kajian Semula) dan Pelan Bandar Pintar Perlis 2030 (Perlis Pintar 2030) akan menjadi dokumen penting dalam merangka hala tuju pembangunan negeri secara menyeluruh dan inklusif.

Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata dokumen berkenaan menjadi kerangka utama dalam merancang pembangunan negeri dengan matlamat Perlisku Bestari: Negeri Progresif, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi menjelang 2040.

“Melalui pendekatan yang menyeluruh dan strategik ini, RSN Perlis 2040 (Kajian Semula) akan menjadi panduan dalam membentuk persekitaran yang seimbang, progresif dan berorientasikan masa hadapan demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran ekonomi negeri.

“Perancangan jangka masa panjang melalui RSN ini adalah penting bagi memastikan keperluan pembangunan, infrastruktur dan peluang ekonomi dapat menampung pertumbuhan penduduk,” katanya ketika berucap merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RSN Perlis 2040 (Kajian Semula) dan majlis pelancaran Pelan Bandar Pintar Negeri Perlis 2030, di sini hari ini.

Mengenai Pelan Bandar Pintar Negeri Perlis 2030 pula, Mohd Shukri berkata dokumen itu merupakan komitmen kerajaan negeri dalam merealisasikan agenda pendigitalan dan pembangunan Bandar Pintar untuk menjadikan Perlis sebagai negeri pintar yang mampan, inklusif dan makmur.

Menurut beliau, pelan itu berteraskan tujuh komponen utama, iaitu Smart Governance, Smart Economy, Smart Environment, Smart Living, Smart Mobility, Smart People dan Smart Digital Infrastructure untuk menyokong ekosistem bandar pintar secara menyeluruh.

Dalam pada itu, bercakap kepada pemberita selepas majlis berkenaan, Mohd Shukri berkata kerajaan negeri amat mengharapkan penglibatan rakyat dalam proses penyediaan draf RSN Perlis 2040 agar dokumen terbabit benar-benar mencerminkan aspirasi masyarakat.

“Inilah yang kita harapkan … penglibatan seluruh rakyat dalam membina Rancangan Struktur Negeri supaya lebih berjaya dan menyeluruh, serta dapat dilaksanakan seperti masa yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata antara cadangan besar dalam perancangan itu termasuklah pembinaan lapangan terbang baharu di Perlis seperti yang disarankan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, sesuai dengan kedudukan negeri itu yang bersempadan dengan Thailand.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan