SUKAN

Kelekaan Di Minit Akhir Perlawanan Hukum Harimau Muda - Nafuzi

04/09/2025 05:38 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Hasrat skuad Harimau Muda memulakan kempen Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dengan kemenangan tidak kesampaian apabila kecuaian di hujung perlawanan menyaksikan Malaysia tewas 0-1 kepada Lubnan di Stadium Thammasat, Thailand, semalam.

Ketua jurulatihNafuzi Zain mengakui kekalahan itu sukar diterima memandangkan anak buahnya berjaya menguasai permainan serta mencipta beberapa peluang, namun gagal menterjemahkannya kepada jaringan.

“Pemain nyata kecewa dengan kekalahan semalam. Saya rasa kita tidak patut tewas kerana sebenarnya kita boleh menang perlawanan itu. Dari awal kita kawal permainan dengan baik, cuma peluang yang ada tidak dimanfaatkan,” katanya menerusi rakaman video dikongsi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Perlawanan berlangsung sengit sejak awal dengan kedua-dua pasukan buntu mencari jaringan pada babak pertama. Namun, ketika perlawanan seakan berakhir seri, pemain tengah Lubnan, Ali El Fadl, meledak gol kemenangan pada minit ke-84.

Nafuzi menuntut barisan mudanya segera bangkit dalam dua aksi penting menentang Mongolia, Sabtu ini dan tuan rumah Thailand, Rabu depan bagi menghidupkan peluang mara ke pusingan akhir.

Hanya 11 juara kumpulan dan empat naib juara terbaik serta tuan rumah Arab Saudi akan mengesahkan slot ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2026, Januari depan.

Malaysia sebelum ini pernah layak dalam tiga edisi Piala Asia B-23 iaitu edisi 2022 (Uzbekistan) dan 2024 (Qatar) dengan pencapaian terbaik mara ke suku akhir pada edisi 2018 di China.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan