BALING, 4 Sept (Bernama) -- Kaunter Jabatan Imigresen (JIM) yang menawarkan perkhidmatan permohonan pas sempadan dan pembaharuan pasport secara dalam talian menjadi antara tumpuan pengunjung Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Kedah, di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling di sini hari ini.
Seorang pengunjung Fadilatul Akmal Abdul Khadir, 37, dari Kupang berkata dia mengambil peluang untuk membuat pas sempadan kerana merancang untuk bercuti di Thailand dalam masa terdekat.
"Rasa lega bila dapat tahu boleh buat pas sempadan di PMR ni sebab biasanya kami kena ke Sungai Petani atau ke Keroh, Perak kalau nak buat, jauhlah dari sini," katanya kepada Bernama.
Fadilatul Akmal berkata perkhidmatan yang disediakan di reruai JIM itu telah mempermudahkan urusan orang ramai khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.
Bagi pesara tentera Ishak Zakaria, 75, dari Kampung Batu 42 Pulai dekat sini, kaunter Imigresen di PMR memberi kemudahan kepadanya untuk memperbaharu pas sempadan miliknya serta isteri yang lumpuh dan berkerusi roda.
"Ada kaunter ni senang sikit. Makcik pun tidaklah teruk sangat. Pakcik memang selalu pastikan pas sempadan sentiasa hidup sebab ada saudara-mara di Thailand. Kalau ada kecemasan senang nak ke sana," katanya.
Wan Mariam Hamzah, 56, dari Kampung Batu Tujuh dekat sini pula berkata dia mengambil kesempatan membuat pas sempadan di PMR memandangkan ia lebih mudah serta pantas.
"Syukurlah ada perkhidmatan ni, orang pun tak ramai. Lepas ni senanglah kalau nak berjalan ke Thailand dengan kawan-kawan," katanya.
PMR 2025 Kedah yang diterajui Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri berlangsung hari ini hingga Sabtu.
Selain kaunter Imigresen, tarikan utama lain termasuk reruai perkhidmatan kerajaan Persekutuan dan negeri, inisiatif kesejahteraan komuniti, Jualan Rahmah MADANI, Jualan Agro MADANI, diskaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), perkhidmatan kesihatan, tawaran peluang pekerjaan serta program pertukaran topi keledar oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial