AM

Perarakan Hari Kemenangan Tekankan Kepentingan Mempertahankan Kedaulatan – PM Anwar

03/09/2025 02:25 PM

Daripada Voon Miaw Ping

BEIJING, 3 Sept (Bernama) -- Perarakan Kemenangan memperingati 80 tahun tamatnya Perang Dunia Kedua anjuran kerajaan China menjadi peringatan tepat pada masanya bahawa kedaulatan negara mesti dipertahankan dan dilindungi pada setiap masa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu semakin penting dalam landskap geopolitik masa kini yang terus bergolak dengan sistem antarabangsa semakin terjejas serta tidak stabil.

Beliau menegaskan, pembunuhan beramai-ramai di Gaza oleh rejim Israel yang terus melakukan kekejaman terhadap rakyat Palestin tanpa dikenakan tindakan adalah contoh nyata.

“Bagi saya, sambutan itu peringatan bahawa sesebuah negara harus bebas, merdeka dan berdaulat. Negara mesti dihormati kebebasannya.

“Pengalaman menyambut kedamaian serta penyelesaian selepas Perang Dunia Kedua, cara China bangkit menentang keganasan dan penjajahan, menjadi pengajaran kepada masyarakat kini, terutama di rantau kita,” katanya kepada media Malaysia pada sidang media sempena tamat lawatan kerjanya ke Beijing dan Tianjin, minggu ini.

Anwar merupakan antara pemimpin asing yang dijemput Presiden China Xi Jinping menghadiri perarakan peringatan itu di Dataran Tiananmen pagi ini.

Mengenai penyertaannya dalam Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) Plus 2025 di Tianjin, Anwar berkata meskipun Malaysia bukan anggota SCO, beliau dijemput Xi selaku Pengerusi untuk hadir sebagai tetamu khas dan berkongsi pandangan mengenai isu global semasa.

“Jadi kita manfaatkan peluang ini untuk hadir dan beri pandangan,” katanya.

Anwar berkata beliau turut menekankan kegagalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan mandatnya dalam menyelesaikan krisis utama dunia sehingga menjejaskan lagi pengaruh global badan itu, sesuatu yang turut diakui Setiausaha Agungnya Antonio Guterres yang turut hadir pada persidangan berkenaan.

Perdana Menteri berkata beliau juga mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin dunia di sela-sela Sidang Kemuncak SCO.

Antaranya, beliau berkata, pertemuan dengan Pemangku Presiden Myanmar Min Aung Hlaing yang membincangkan serta meneliti proses damai negara itu menjelang lawatan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan hujung bulan ini.

Pertemuan dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Mesir Mostafa Madbouly pula menumpukan kepada isu Gaza susulan kekejaman berterusan rejim Zionis.

“Saya tanya perkembangan semasa di Gaza. Ramai juga pemimpin yang hadir (di persidangan itu) bangkitkan isu kezaliman berterusan di Gaza dan penderitaan rakyat Palestin,” katanya.

Anwar turut bertemu Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Perdana Menteri Nepal KP Sharma Oli bagi membincangkan kerjasama meningkatkan perdagangan serta pelaburan dua hala.

Beliau dijadual berlepas pulang ke tanah air tengah hari Rabu selepas menghadiri Perarakan Kemenangan dan jamuan rasmi yang dianjurkan Presiden China.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan