AM

Laluan Sutera Budaya: Benang Dan Budi Semarakkan Temasya Warisan Pahang, Hari Persahabatan Malaysia-Afrika

02/09/2025 11:09 PM

KUANTAN, 2 Sept (Bernama) -- Program bertemakan "Laluan Sutera Budaya: Benang dan Budi” serta Lawatan Eksplorasi Budaya berlangsung meriah di Pulau Keladi, Pekan hari ini sempena Temasya Warisan Pahang dan Hari Persahabatan Malaysia-Afrika 2025. 

Acara berkenaan diserikan dengan keberangkatan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 10 pagi.

Menurut Kesultanan Pahang menerusi hantaran di laman Facebook, pada program itu delegasi dibawa melawat ke Pusat Tenun Diraja Pahang, termasuk Institut Tenun Pahang Diraja, Serambi Pahang, Balai Pameran Tengku Ampuan I & II, Pavilion Sarawak serta demonstrasi dan jualan kraf tangan tempatan. 

“Para tetamu turut berpeluang menyaksikan seni kraf warisan, tenunan sutera, lukisan tempatan serta pelbagai produk tradisional,” menurut hantaran itu, hari ini. 

Turut diadakan sesi khas ‘Alhambra dan Tenun Pahang Diraja' yang menampilkan Dr Kamree Aziz dari Humanlogica. 

“Sesi ini meraikan keharmonian seni bina Islam Maghribi dengan kehalusan Tenun Pahang Diraja, termasuk aplikasi inovasi kecerdasan buatan (AI) dalam fesyen, warisan budaya dan pendidikan,” menurut hantaran itu.

Selain itu, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA dengan kerjasama Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Rembau, The Green Initiative Empire dan Media Path Enterprise turut mempersembahkan pertunjukan fesyen khas yang menggabungkan seni kontemporari moden dengan warisan tradisi.

Acara turut diserikan dengan jamuan tengah hari serta sesi menikmati buah durian istimewa, diikuti dengan pembentangan oleh Invest Pahang di Pavilion Laluan Sutera Budaya mengenai peluang pelaburan dan inisiatif sokongan terhadap pembangunan budaya, warisan dan kelestarian.

Delegasi kedutaan diketuai Dekan Ketua-Ketua Misi Afrika di Malaysia merangkap Duta Besar Zimbabwe Constance Chemwayi bersama 19 wakil kedutaan Afrika dari Algeria, Mesir, Eswatini, Ghana, Guinea, Kenya, Libya, Mauritius, Maghribi, Namibia, Nigeria, Senegal, Somalia, Afrika Selatan, Sudan, Tanzania, Uganda, Zambia dan Zimbabwe. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan