KUALA NERUS, 2 Sept (Bernama) -- Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (MySESMA) mengambil inisiatif mengumpul dana sebanyak RM1.5 juta bagi menaik taraf surau di sekolah berkenaan.
Presiden MySESMA Datuk Mohd Zubir Embong berkata projek itu adalah sumbangan terbesar mereka sempena ulang tahun ke-50 penubuhan persatuan berkenaan.
Beliau berkata hasil kesepakatan dan kerja keras semua pihak, MySESMA berjaya mengumpul dana dan menyiapkan projek naik taraf Surau Al-Ghazali.
“Pada awalnya, projek ini dianggap sukar memandangkan jumlah dana yang sangat besar… melebihi RM1 juta. Namun, hasil muafakat dan usaha keras semua pihak, MySESMA berjaya melaksanakannya secara berperingkat bermula April lepas dan siap lebih awal daripada jangkaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Zubir berkata paling membanggakan apabila keseluruhan kerja bermula daripada reka bentuk, binaan sehingga proses pemantauan dikendalikan oleh ahli MySESMA yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang.
Beliau berkata hasil proses naik taraf itu, Surau Al-Ghazali kini boleh menampung sehingga 800 jemaah pada satu masa berbanding 600 orang sebelumnya.
“Alhamdulillah MySESMA masih berkesempatan menyumbang bakti kepada warga sekolah untuk beribadah dengan lebih selesa. Sumbangan ini diharap menjadi contoh dan legasi alumni untuk diteruskan oleh generasi pelajar akan datang,” katanya.
Sebelum ini, MySESMA turut menghadiahkan sebuah bas Semi Hi-Deck bernilai RM670,000 kepada SESMA sempena sambutan Hari Guru tahun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial