AM

AMME18: Mesyuarat Persediaan Pegawai Kanan Bermula Hari Ini

02/09/2025 01:18 PM

LANGKAWI, 2 Sept (Bernama) -- Mesyuarat Persediaan Pegawai-Pegawai Kanan Alam Sekitar ASEAN (ASOEN) untuk Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN Ke-18 (AMME18) bermula hari ini, dengan gesaan memperkukuh kerjasama serantau bagi menangani cabaran alam sekitar yang kian mendesak.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Dr Ching Thoo dalam ucapan alu-aluannya menekankan peranan penting mesyuarat persediaan itu dalam memastikan kejayaan mesyuarat menteri-menteri nanti. 

“Di sinilah kita sebagai satu komuniti meluangkan masa untuk meneliti agenda kita, memperhalusi  perkara yang akan dibincangkan, dan memastikan semua persiapan yang perlu telah disusun agar para menteri dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada perkara utama dalam perbincangan mereka.

“Ketelitian kerja kita hari ini akan menyumbang secara langsung kepada keberkesanaan dan kejayaan Mesyurat Menteri-Menteri ASEAN yang akan diadakan beberapa hari lagi,” katanya.

Ching berkata kerja-kerja persediaan yang dilaksanakan bukan bersifat tatacara semata-semata tetapi langkah penting dalam memastikan ASEAN terus memberikan hasil penyelesaian yang ketara dan konkrit untuk kepentingan rakyat di rantau ini. 

Beliau berkata sebagai tuan rumah, Malaysia merakamkan ucapan selamat datang kepada semua delegasi dan mengalu-alukan mereka untuk mengambil peluang menikmati keindahan warisan budaya serta  alam semula jadi di Langkawi di luar sesi rasmi nanti, selain yakin bahawa pertukaran pandangan dalam mesyuarat tersebut dapat memupuk persahabatan lebih erat dan persefahaman lebih mendalam. 

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Sekretariat ASEAN dan semua delegasi atas dedikasi serta kerja keras mereka, sambil mengakui komitmen tersebut mencerminkan kesungguhan dikongsi bersama rantau ini untuk menangani cabaran alam sekitar dan berusaha ke arah masa depan yang mampan. 

“ASEAN terus berdepan dengan cabaran besar alam sekitar, termasuk impak perubahan iklim yang semakin ketara, kehilangan biodiversiti, kemerosotan ekosistem, pencemaran jerebu rentas sempadan dan corak penggunaan dan pengeluaran yang tidak mampan,” katanya.

Beliau menambah perubahan iklim yang sangat besar membawa kepada perubahan cuaca yang lebih ekstrem, peningkatkan paras laut, serta ancaman terhadap sekuriti makanan, air dan tenaga yang memerlukan kerjasama lebih kukuh, peningkatan penguatkuasaan serta pendekatan inovatif seperti ekonomi kitaran dan pembiayaan hijau. 

“Prinsip perpaduan, konsensus dan kerjasama menjadi tunjang ASEAN sejak sekian lama. Dalam menangani cabaran yang rumit dan saling berkait ini, kita perlu memperteguhkan komitmen bersama ke arah kemampanan, ketahanan dan keterangkuman,” katanya. 

AMME-18, dijadual berlangsung dari 2 hingga 4 Sept di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), turut merangkumi Mesyuarat Persidangan Pihak-Pihak kepada Perjanjian ASEAN ke-20 mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (COP-20 AATHP) serta mesyuarat-mesyuarat berkaitan.

Acara itu akan menghimpunkan menteri-menteri alam sekitar ASEAN dan pegawai kanan bagi membincangkan kerjasama serantau mengenai kelestarian dan pengurusan alam sekitar inklusif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan