AM

Visi Alam Flora Untuk Masa Depan Lebih Bersih Berpaksikan Inovasi Dan Impak

02/09/2025 12:35 PM

Oleh Nur Elysa Amirah Suhaimi

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora), anak syarikat Malakoff Corporation Berhad (Malakoff), komited untuk mengembangkan visinya menerajui transformasi Malaysia ke arah ekonomi kitaran mampan, selaras dengan Pelan Tindakan Ekonomi Kitaran bagi Sisa Pepejal 2025-2035 Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Dilancarkan pada 2024, pelan tindakan itu menggariskan rangka kerja untuk peralihan kepada ekonomi kitaran berdasarkan lima tonggak strategik iaitu tadbir urus dan perundangan, garis panduan dan prosedur, sistem pengumpulan data, pembangunan infrastruktur dan menggalakkan industri berasaskan sisa.

Matlamatnya adalah untuk mengurangkan pembaziran, merangsang ekonomi dan meminimumkan kesan alam sekitar menerusi kerjasama pihak berkepentingan serta memperkenalkan dasar baharu.

Mengulas mengenai komitmen syarikat itu, Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Shariman Yusuf Mohamed Zain berkata ia telah diterjemahkan kepada beberapa inisiatif utama termasuk pembangunan Kemudahan Mendapatkan Semula Bahan (Material Recovery Facility) (MRF) menerusi Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) di Putrajaya.

Selain itu, (turut dibangunkan) Fasiliti Eko Mampan Pemerolehan Semula Sisa (RISE) di Kuala Lumpur dan akan datang, projek Loji Sisa-kepada-Tenaga (Waste-to-Energy) (WtE) di Sungai Udang, Melaka; serta perluasan projek pengurusan sisa berbahaya berjadual.

"Bagi menyokong visi ini, kami mahu beralih daripada syarikat pengurusan sisa tulen kepada penyedia penyelesaian alam sekitar yang utuh, membantu untuk mencapai sasaran sifar sisa ke tapak pelupusan dan memperkukuh Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR),” katanya kepada Bernama pada Selasa.

Shariman Yusuf berkata inisiatif Alam Flora adalah selaras dengan Pelan Tindakan Ekonomi Kitaran KPKT dan menyokong Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), yang bertujuan memodenkan perkhidmatan pembersihan awam menerusi teknologi pintar, peningkatan kecekapan dan penglibatan masyarakat yang lebih kukuh.

Beliau berkata projek WtE sahaja dijangka memproses 1,000 tan sisa pepejal setiap hari, menjana 22 megawatt elektrik dan mengurangkan lebih 259,000 tan pelepasan karbon dioksida setiap tahun.

Untuk terus menyokong ekonomi kitaran, beliau berkata Alam Flora kini mengusahakan rawatan sisa makanan untuk kompos, makanan haiwan dan biometana, kitar semula minyak masak terpakai dan program pengembangan 3R.

“Ia juga telah membangunkan aplikasi kitar semula, Recyclink, insentif, untuk menggalakkan penyertaan orang ramai dalam melakukan kitar semula dengan ganjaran daripada kredit Touch ‘n Go dan mata Mesra.

"Dari segi operasi, Alam Flora kini menggunakan teknologi mekanisasi dan pintar, termasuk kenderaan elektrik (EV) dan mesin pembersihan automatik. Alat Pengutip Sampah Elektrik Glutton mampu meliputi 30 peratus lebih luas kawasan daripada penyapu pengutip manual.

"Ujian sedang dijalankan untuk penyapu jalan EV, penyendat (compactor), motosikal dan basikal roda tiga berkuasa solar untuk mengurangkan kesan karbon kami dan menambah baik mobiliti kru. Operasi malam juga sedang diuji dengan mekanisasi untuk meningkatkan produktiviti bagi melancarkan lalu lintas dan mengurangkan kebergantungan pada buruh asing," katanya.

"Usaha pemodenan ini dijalankan dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang memainkan peranan utama dalam mengukuhkan inisiatif Alam Flora untuk mempertingkatkan perkhidmatan pembersihan awam dan melaksanakan teknologi pengurusan sisa pintar," katanya.

Dengan pengalaman lebih 25 tahun, Shariman Yusuf berkata Alam Flora terus memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri dan sedang meneroka perluasan perkhidmatan ke negeri bukan konsesi, sambil turut berkolaborasi dengan agensi Persekutuan dan negeri dalam inisiatif mampan seperti WtE, pemulihan bahan dan projek ekonomi kitaran.

Pada peringkat serantau, beliau berkata Alam Flora sedang meneroka usaha sama di Asia Tenggara terutama dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan pasaran seperti Thailand, Indonesia dan Singapura, untuk meletakkan syarikat itu sebagai pemain serantau dalam perkhidmatan alam sekitar.

"Untuk melengkapkan perniagaan terasnya, Alam Flora memasuki sektor Pengurusan Fasiliti (FM) melalui anak syarikatnya, Genesis Facilities Solutions. Ini termasuk menyediakan perkhidmatan kepada bangunan kerajaan, hartanah komersil, zon perindustrian dan pusat data dengan penyelesaian FM pintar yang dikuasakan Internet benda (IoT), AI dan dron.

"Kontrak prestasi tenaga (EPC) dan sistem pematuhan ESG (persekitaran, sosial dan tadbir urus) telah pun digunakan di tapak seperti Lapangan Terbang Senai dan Wisma DRB-Hicom.

"Perkongsian strategik ialah teras kepada kemajuan Alam Flora. Kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta membolehkan perluasan ke bidang baharu dan memperkukuh perkhidmatan dalam penyelesaian sisa pintar, inovasi kitar semula dan inisiatif ekonomi kitaran," katanya.

Dalam itu katanya penglibatan komuniti kekal menjadi keutamaan bagi Alam Flora.

"Menerusi FIKS Putrajaya dan inisiatif '3R on Wheels', Alam Flora membantu mempromosikan pendidikan kitar semula dan khidmat masyarakat. FIKS berperanan sebagai hab sehenti dengan butik 3R dan pusat beli balik, yang mendapat sambutan pelbagai kumpulan termasuk pelajar, NGO dan pegawai. Usaha ini, disokong oleh kempen digital, bertujuan memupuk budaya kelestarian," ujar beliau.

Menjelang 2030, Alam Flora berhasrat untuk menjadi penyedia penyelesaian alam sekitar bersepadu di Asia Tenggara, berpaksikan pada inovasi, kemampanan dan perkongsian strategik. Ia komited untuk menguruskan 10,000 tan sisa setiap hari menjelang 2031 dengan strategi bersepadu dan mampan,” katanya.

Inisiatif ini menurutnya bertepatan dengan ulang tahun ke-50 Malakoff, meraikan lima dekad kelestarian yang mencerminkan matlamat Malakoff iaitu 'Mempertingkatkan Kehidupan, Memperkaya Komuniti', yang terus menjadi panduan kepada usaha alam sekitar dan sosialnya di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan