DUNIA

Bandar Raya Tuan Rumah Piala Dunia FIFA 2026 Di AS Mengadu Kekurangan Dana - Laporan

01/09/2025 07:33 PM

MOSCOW, 1 Sept (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Bandar raya di Amerika Syarikat (AS) yang menjadi tuan rumah bagi Piala Dunia FIFA 2026 mengadu kekurangan dana untuk membiayai penganjuran acara itu, lapor Sputnik/RIA Novosti memetik Politico yang merujuk pihak berkuasa tempatan.

Menurut laporan itu, kebimbangan semakin meningkat di kebanyakan bandar raya mengenai keperluan mencari jutaan dolar bagi menampung kos logistik dan keselamatan.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dilaporkan mengehadkan dengan ketara keupayaan penganjur tempatan untuk menjana dana mereka sendiri.

Walaupun Kongres AS telah meluluskan peruntukan berjumlah US$625 juta bagi kos keselamatan, pihak berkuasa tempatan masih perlu mencari dana tambahan sehingga US$150 juta setiap bandar raya untuk menampung perbelanjaan lain.

Sekurang-kurangnya dua jawatankuasa tempatan yang mengendalikan kejohanan itu dilaporkan telah mengadu secara peribadi kepada FIFA mengenai kekurangan sokongan.

Piala Dunia 2026 akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dari 15 Jun hingga 13 Julai. Buat julung kalinya, kejohanan ini akan disertai 48 pasukan kebangsaan.

--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan