Daripada Voon Miaw Ping
TIANJIN (China), 1 Sept (Bernama) -- Asia perlu menerajui era orde ekonomi global seterusnya dengan menulis semula lembaran agenda sendiri dan pada masa sama menentukan hala tuju masa depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menekankan perkara itu berkata kalangan negara Asia perlu memikul tanggungjawab untuk memastikan lembaran seterusnya turut ditentukan juga oleh Asia.
Beliau berkata landskap ekonomi global masa kini yang dipenuhi dengan gangguan berterusan dan kebimbangan serta pemecahan yang semakin ketara seharusnya dijadikan peluang untuk memperkukuh kerjasama antara negara.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata tugas Asia adalah untuk memastikan gangguan yang berlaku pada masa kini menjadi permulaan kepada perpaduan yang lebih adil -- bukan sebagai mukadimah kepada perpecahan yang lebih parah.
“Asia merupakan enjin pertumbuhan global, tempat bagi majoriti anak muda dunia, dan pusat bagi kebanyakan teknologi yang paling dinamik.
“Kita bukan sekadar objek dalam strategi pihak lain. Kita ialah penentu kepada takdir kita sendiri,” kata beliau ketika menyampaikan syarahan umum di Universiti Tianjin di sini, pada Isnin.
Perdana Menteri berkata ekonomi global telah disusun semula sebanyak tiga kali sejak pertengahan abad ke-20.
Beliau berkata penyusunan semula pertama berlaku di Bretton Woods pada 1944, dengan ekonomi dunia berpaksikan dolar yang disokong oleh emas.
Penyusunan semula kedua berlaku pada 1971 apabila Amerika Syarikat secara tiba-tiba menamatkan kaitan tersebut sekali gus membawa kepada era baharu liberalisasi modal dan tidak lama selepas itu penubuhan G-7, kata beliau.
“Penyusunan semula ketiga sedang berlaku di hadapan mata kita: perubahan ditentukan oleh tarif yang diisytihar sebagai ‘Hari Pembebasan’, oleh penggunaan perdagangan sebagai senjata dan oleh rasa ketidaksabaran yang semakin meningkat terhadap institusi era pascaperang.
“Setiap penyusunan semula ini ditentukan jauh dari negara kita. Asia hadir, tetapi bukan sebagai penulisnya,” kata beliau.
Anwar berkata langkah negara Asia yang sedang menentukan haluan sendiri adalah penting kerana perpecahan akan membawa kesan yang nyata.
Beliau yang memetik Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata badan itu menganggarkan perpecahan perdagangan yang serius digabungkan dengan pemisahan teknologi boleh menyebabkan sesetengah negara kehilangan sehingga 12 peratus daripada keluaran negara mereka.
Hal itu menjadikan kalangan ekonomi yang sedang pesat membangun sangat terjejas, kata beliau.
Syarahan umum bertajuk ‘Saling Bergantung Kedaulatan: Membina Masa Depan Bersama di Asia’ itu adalah sebahagian daripada sesi libat urus Anwar bersama pelajar dan ahli akademik semasa lawatan empat hari beliau ke Tianjin dan Beijing yang bermula 31 Ogos.
Lawatan kerja empat hari Perdana Menteri kali ini merupakan lawatan keempat beliau ke China sejak memegang jawatan itu pada November 2022.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial