AM

Penjenayah Siber Eksploitasi Jualan Kad Sim Prabayar Dalam Talian

01/09/2025 01:17 PM

Oleh Abdul Rahman Fahmi Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Penjenayah siber didapati mengeksploitasi penjualan kad SIM secara dalam talian di platform e-dagang untuk melakukan pelbagai jenayah termasuk penipuan, kerana keupayaan untuk memalsukan identiti, menurut Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil.

Beliau berkata pemalsuan itu dikenali sebagai kegiatan mule SIM card atau sim kad keldai, dan ia berlaku apabila kad SIM prabayar dijual di platform e-dagang, membolehkan penjenayah siber beroperasi tanpa dapat dikesan sekali gus menyukarkan siasatan pihak berkuasa.

Menyifatkan perkara itu sebagai punca utama jenayah siber, Siraj berkata penjenayah bebas mencipta identiti palsu dan mendaftar dalam apa jua aplikasi digital dengan menggunakan nama individu lain.

“Jadi apa sahaja aktiviti jenayah siber yang kalau pihak berkuasa buat siasatan, akhirnya akan jumpa jalan mati, sebab identiti telekomunikasi didaftarkan atas nama orang lain.

“Itu sebab kadar jenayah terus meningkat, seolah-olah penjenayah ini tidak takut, sebab bukan nama sebenar dia yang didaftarkan. Hendak kesan gunakan kedudukan pun memang tak akan dapat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Siraj berkata kelemahan kawalan pendaftaran kad SIM prabayar, bukan sahaja menyulitkan usaha pihak berkuasa malah turut membuka ruang kepada penjenayah untuk mengeksploitasi pelbagai aplikasi digital, termasuk platform permainan dalam talian.

Beliau meluahkan kebimbangan bahawa jika isu ini tidak ditangani segera, jenayah siber akan terus berkembang dengan lebih kompleks dan memberi kesan meluas merentasi semua generasi masyarakat.

Menyentuh mengenai tanggungjawab mengekang penipuan dalam permainan digital, Siraj berkata ia bukan hanya terletak pada kerajaan semata-mata, tetapi merupakan usaha bersama yang perlu dipikul semua pihak.

Beliau berkata selain pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan, syarikat pembangun permainan dalam talian juga harus mempergiat usaha advokasi, bagi meningkatkan kesedaran pengguna terutamanya golongan remaja dan kanak-kanak yang merupakan majoriti pengguna platform mereka.

Beliau berkata syarikat-syarikat platform ini wajib melaksanakan tanggungjawab sosial mereka, seiring dengan jumlah pengguna permainan dalam talian yang semakin meningkat serta perkembangan e-Sukan yang semakin pesat. 

“Lagi bagus, mewujudkan dasar pendidikan dalam platform mereka. Maknanya kena ada pengajaran etika dan komponen literasi digital seperti cara penggunaan peranti, aplikasi permainan, sampailah ke tahap panduan kerjaya menjadi pemain e-Sukan.

“Jadi tanggungjawab sosial itu wajib. Sebab anda dapat pendapatan daripada pengguna, anda wajib lindungi pengguna juga,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan