DUNIA

Malaysia Gesa Keahlian Israel Dalam PBB Digantung - Mohamad

28/08/2025 04:12 PM

SEREMBAN, 28 Ogos (Bernama) -- Malaysia sekali lagi menggesa agar masyarakat antarabangsa menggantung keahlian Israel dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan terus mengenakan sekatan menyeluruh ke atas rejim Zionis.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkara itu pernah dibangkitkan Malaysia dalam Perhimpunan Agung PBB (UNGA) tahun lepas dan beliau akan mengulangi gesaan berkenaan pada sesi akan datang.

"Sudah sampai masanya Israel digantung keahliannya daripada PBB dan semua negara perlu mengenakan sekatan terhadap Israel. Ini telah saya bawa dalam Perbahasan Umum UNGA mewakili Malaysia pada tahun lepas, saya akan mengulangi hasrat dan seruan ini supaya Israel digantung ataupun dibuang daripada menjadi masyarakat antarabangsa.

"Sekatan itu bermaksud sekatan senjata yang digunakan untuk membunuh rakyat Palestin perlu dikenakan terhadap Israel," katanya kepada pemberita selepas program Penyampaian Sumbangan Ahli Parlimen Rembau di Dewan Orang Ramai Rantau pada Khamis.

Menurut beliau, dokumen hasil antarabangsa yang dirumuskan sebelum ini jelas menyatakan Israel perlu dicegah daripada meneruskan hasrat menakluki dan menghapuskan Gaza.

"Ini merupakan penjajahan zaman moden yang dilakukan oleh pihak Israel dan masyarakat antarabangsa tidak boleh terus memejamkan mata terhadap apa yang dilakukan oleh Zionis Israel,"katanya.

Terdahulu, satu mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah diadakan di Jeddah, Arab Saudi sebagai respons kepada operasi ketenteraan Israel yang berterusan di Gaza, bagi menyelaras pendirian dan tindakan negara anggota terhadap krisis berkenaan.

Pertubuhan itu, yang mewakili 57 negara majoriti Islam, secara tradisinya meletakkan dirinya sebagai pembela hak Palestin dan Masjid al-Aqsa di Baitulmuqaddis.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan