IPOH, 28 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 13,997 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah di Perak bagi tempoh Januari hingga 24 Ogos tahun ini melibatkan rampasan bahan terlarang itu bernilai kira-kira RM15.7 juta.
Timbalan Ketua Polis Perak SAC Mohammad Azlin Sadari berkata jumlah individu yang ditahan kerana mengedar dadah meningkat 11 peratus kepada 1,918 berbanding 1,727 bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Beliau berkata 51 individu pula ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 dan kebanyakan mereka merupakan dalang sindiket yang telah ditumpaskan pada tahun ini.
“Sebanyak 4,816 lagi individu diberkas kerana memiliki dadah manakala bakinya terlibat dengan tangkapan (ujian) urin sepanjang tempoh berkenaan," katanya pada sidang media selepas program pelupusan barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.
Mohammad Azlin berkata dadah jenis syabu, ketamin dan heroin merupakan rampasan yang tertinggi di negeri ini sepanjang tempoh berkenaan.
Beliau berkata keseluruhannya 4,827 kertas siasatan dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Racun 1952 dalam tempoh itu dan daripada jumlah itu, 4,714 kes telah dituduh di mahkamah, iaitu pencapaian sebanyak 98 peratus.
Mengenai program hari ini, Mohammad Azlin berkata pelbagai barang kes dilupuskan melibatkan kesalahan dadah dan ketum bernilai RM26.12 juta.
Beliau berkata antara yang dilupuskan termasuk heroin seberat 4.49 kilogram (kg), ganja (165kg), syabu (404kg) ketamin (46kg) serta daun ketum berjumlah 651kg dengan kesemua eksibit adalah hasil daripada 5,483 kertas siasatan bagi kes yang telah selesai perbicaraan di mahkamah sejak 2012 hingga 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial