AM

‘Cha-Ching On The Go’ Sasar 17,400 Murid Celik Kewangan

27/08/2025 10:12 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) dan Prudence Foundation hari ini melancarkan program literasi kewangan interaktif ‘Cha-Ching On the Go’ bagi memupuk kemahiran pengurusan kewangan dalam kalangan murid sekolah rendah.

PAMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan fasa pertama pelaksanaan program itu menyasarkan lebih 17,400 pelajar di Kuala Lumpur dan Putrajaya. 

Menurut PAMB, program berkenaan yang dikembangkan daripada program asal Cha-Ching dibangunkan Prudence Foundation pada 2011, bertujuan menjadikan pendidikan kewangan lebih menyeronokkan dan mudah diakses oleh kanak-kanak menerusi aktiviti serta permainan interaktif.

“Fasa baharu ini turut membawa pengalaman pembelajaran melangkaui bilik darjah bagi memastikan kanak-kanak dalam komuniti kurang diberi tumpuan turut berpeluang mempelajari kemahiran penting dalam pengurusan wang,” menurut kenyataan itu.

Program yang dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Dana Kita itu menampilkan siri jelajah menggunakan trak Cha-Ching On the Go, trak Jelajah Ilmu Bank Negara Malaysia (BNM) serta bas Mobile Lab yang akan melawat sekolah dan kawasan perumahan terpilih.

Pada tahun pertama, program bergerak itu akan berkunjung ke 30 sekolah rendah kerajaan dan 12 komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Berucap pada majlis pelancaran Program ‘Cha-Ching On the Go’ hari ini, Timbalan Menteri Perpaduan Negara Senator Saraswathy Kandasami berkata dengan kerjasama semua pihak, inisiatif itu bukan sahaja mengukuhkan dasar negara malah membawa perubahan ketara kepada komuniti, selaras dengan semangat Malaysia MADANI bagi memupuk generasi celik kewangan, berdaya tahan dan inklusif.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengedaran Perkongsian PAMB Eric Wong pula berkata menerusi inisiatif itu, pihaknya berhasrat menjadikan pendidikan kewangan menyeronokkan dan interaktif seawal usia untuk menyiapkan generasi baharu dengan kemahiran diperlukan bagi membina masa depan yang lebih terjamin.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Prudence Foundation Nicole Ngeow berkata literasi kewangan merupakan kemahiran hidup yang penting dan melalui pendekatan interaktif 'Cha-Ching On the Go', kanak-kanak berpeluang mempelajari asas pengurusan wang dengan cara menyeronokkan. 

"Di Prudence Foundation, kami berbangga menyaksikan 'Cha-Ching On the Go' membawa aktiviti Cha-Ching yang menyeronokkan dan mendidik kepada kanak-kanak dalam komuniti yang mungkin kurang mendapat akses kepada pendidikan sebegini," katanya.

Menurut PAMB, pihaknya berhasrat memperluas program tersebut ke seluruh negara bagi memastikan kanak-kanak dari pelbagai latar belakang berpeluang mempelajari kemahiran penting dalam pengurusan wang.

Cha-Ching, yang dibangunkan bersama Cartoon Network, mengajar kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun empat konsep kewangan utama iaitu menjana, menyimpan, berbelanja dan menderma.

Menerusi video animasi dan modul berasaskan pengalaman, ia menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan dengan sokongan bahan untuk guru serta ibu bapa.

Sejak diperkenalkan di sekolah-sekolah pada 2014, kurikulum Cha-Ching telah melatih 3,851 guru dan memberikan manfaat kepada 283,250 pelajar di seluruh negara.

Di Asia dan Afrika, program itu telah melatih hampir 90,000 guru dan mendidik lebih 3.2 juta pelajar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan