Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup tinggi hari ini, mengabaikan jualan secara besar-besaran semalaman dalam minyak kacang soya di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) dan pergerakan mendatar minyak sayuran China, kata penganalisis.
Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata berita mengenai Amerika Syarikat (AS) mengecualikan minyak sawit Indonesia dari tarif import 19 peratus menyediakan sokongan.
Bagaimanapun, kelembapan dalam pembelian oleh beberapa negara selain China telah mengurangkan keuntungan.
Dilaporkan bahawa AS telah bersetuju secara prinsip untuk mengecualikan eksport koko, minyak sawit dan getah Indonesia dari tarif 19 peratus yang dikenakan sejak 7 Ogos.
"Penghapusan cukai import ke atas minyak sawit Indonesia akan menyaksikan kenaikan permintaan dan ini membantu Malaysia," katanya kepada Bernama.
Pada penutup, kontrak September 2025 meningkat sebanyak RM15 kepada RM4,412 setan, Oktober 2025 menokok RM11 kepada RM4,451 dan November 2025 naik RM18 kepada RM4,488.
Disember 2025 melonjak RM23 kepada RM4,512 setan, Januari 2026 mengukuh RM29 kepada RM4,521 dan Februari 2026 menambah RM31 kepada RM4,508.
Jumlah dagangan bertambah kepada 73,274 lot berbanding 46,894 lot yang disaksikan pada hari Selasa, manakala kepentingan terbuka pulih kepada 254,938 kontrak daripada 252,058.
Harga MSM fizikal untuk September Selatan meningkat sebanyak RM20 kepada RM4,430 setan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial