KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Sunway Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sedikit iaitu sebanyak RM272.95 juta bagi suku kedua yang berakhir 30 Jun, 2025 daripada RM270.47 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Keuntungan yang lebih baik disumbangkan daripada perniagaan pembinaan, perdagangan dan pembuatan serta kuari sekali gus mengimbangi keuntungan yang lebih rendah seperti dicatatkan dari segmen-segmen lain.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata perolehan meningkat kepada RM2.56 bilion sepanjang suku berkenaan daripada RM1.58 bilion sebelumnya yang dipacu oleh sumbangan daripada kebanyakan segmen perniagaan kecuali pembangunan hartanah dan pelaburan hartanah.
Katanya, segmen pembangunan hartanah pula melaporkan perolehan sebanyak RM351.42 juta, menurun 5.5 peratus daripada RM371.86 juta setahun lepas manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) merosot kepada RM52.17 juta daripada RM70.12 juta sebelumnya.
“Prestasi kewangan yang lebih rendah itu disebabkan oleh pengebilan kemajuan yang lebih rendah serta pengiktirafan keuntungan secara progresif daripada projek pembangunan tempatan dan luar negara,” kata Sunway.
Sementara itu, syarikat tersebut berkata, perolehan segmen pelaburan hartanah susut kepada RM222.96 juta daripada RM230.97 juta pada suku yang sama tahun lepas manakala PBT susut 11.4 peratus tahun ke tahun kepada RM76.31 juta.
"Prestasi terbaik setakat ini datang daripada segmen pembinaan apabila perolehannya melonjak kepada RM1.27 bilion pada suku kedua 2025 daripada RM381.15 juta pada tahun sebelumnya manakala keuntungan PBT lebih daripada dua kali ganda kepada RM134.77 juta daripada RM52.45 juta sebelumnya,” kata Sunway.
Sunway mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak empat sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025 daripada dua sen pada tempoh yang sama tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial