KUANTAN, 27 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 129 individu ditahan atas pelbagai kesalahan menerusi Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Durian Haram Raub atau Ops Sekat yang dilaksanakan bermula April 2024, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata sebarang cubaan untuk menceroboh, menanam atau mengaut keuntungan secara haram adalah satu perbuatan jenayah dan tindakan paling tegas akan dikenakan tanpa pengecualian.
Menurut Wan Rosdy, kerajaan negeri mengingatkan semua pihak bahawa tanah kerajaan dan Hutan Simpan Kekal adalah khazanah negeri yang wajib dipelihara.
“Kerajaan Pahang menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menceroboh tanah kerajaan atau Hutan Simpan Kekal secara haram, termasuk aktiviti penanaman durian haram di daerah Raub.
“Tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang dan tindakan tegas akan diteruskan sehingga kegiatan ini dihapuskan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Ops Sekat telah memasuki Fasa 4 bermula 21 Julai dan sehingga kini, lebih 10,000 hektar (25,000 ekar) kawasan durian haram disekat laluan keluar masuk, manakala 104 hektar (260 ekar) tanaman durian haram di Hutan Simpan Kekal Gunung Benom ditebang.
Operasi ini dilaksanakan secara bersepadu dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Raub, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, yang diketuai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang.
Beliau berkata kerjasama itu memperkukuh tindakan kerajaan negeri dalam memastikan undang-undang dilaksanakan secara tegas, berkesan dan menyeluruh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial