AM

Inisiatif Baucar Buku MADANI RM100 Untuk Pelajar IPT Mula Dilaksana Esok - KPT

27/08/2025 03:12 PM

PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Inisiatif baucar buku MADANI bernilai RM100 kepada pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) akan dilaksanakan bermula esok hingga 12 Dis ini, yang bakal memanfaatkan 500,000 pelajar merangkumi universiti awam (UA), politeknik, kolej komuniti dan IPT swasta.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk menyokong keperluan pembelajaran pelajar dan meringankan beban kewangan.

Ia juga bermatlamat bagi membudayakan amalan membaca dalam kalangan generasi muda, terutamanya mahasiswa serta merancakkan pertumbuhan ekonomi industri buku.

"KPT berharap agar semua pelajar yang layak dapat memanfaatkan baucar buku ini untuk menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan keupayaan diri, selaras dengan fokus utama kementerian melahirkan bakat terbaik negara," menurut kenyataan itu.

KPT memaklumkan baucar itu boleh digunakan untuk pembelian buku akademik, bahan rujukan, bacaan ilmiah serta pelbagai lagi menerusi portal https://mysiswaplace.my/ (MySiswaPlace).

Platform sehenti itu menawarkan lebih sejuta judul bahan bacaan, termasuk buku fizikal dan e-book yang disediakan oleh lebih 250 rakan niaga digunakan untuk semakan kelayakan, penjanaan serta penebusan baucar dan pembelian bahan bacaan secara dalam talian sepenuhnya.

KPT turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas persetujuan kerajaan untuk meneruskan pelaksanaan inisiatif baucar buku RM100 kepada pelajar IPT warganegara Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan