AM

RUU Pembaharuan Semula Bandar Mampu Beri Nafas Baharu Kepada Kawasan Uzur

26/08/2025 08:47 PM

SHAH ALAM, 26 Ogos (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) sekiranya diluluskan dan dikuatkuasakan mampu memberikan nafas baharu khususnya kepada kawasan bandar yang dikenal pasti sebagai uzur dan usang.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata URA menjadi keperluan penting bagi memastikan kawasan terbiar dapat dibangunkan semula dengan efektif.

"Kalau (diluluskan) ia akan memberikan ruang untuk kita membangunkan semula beberapa kawasan yang uzur seperti di Ampang, Gombak, Hulu Langat, cuma kita perlu teliti balik beberapa tentangan melibatkan akta (RUU) berkenaan. 

"Saya percaya (PSB) ini diperlukan oleh mana-mana pentadbir dan pemerintah kerana kalau tidak, kita akan membiarkan kawasan itu terus susah tanpa dibangunkan semula," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang 2025 Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini hari ini.

Amirudin berkata Selangor antara negeri yang menghadapi cabaran pembangunan semula kawasan bandar yang usang dan uzur. 

"Ada sebahagian kawasan perumahan sudah berusia 70, 80 tahun,  kita perlu bangunkan semula" katanya sambil mencadangkan supaya sebarang isu yang dibangkitkan berkaitan RUU itu diberi perhatian sewajarnya.

Pada 19 Ogos lepas, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata bacaan kedua dan ketiga RUU berkenaan dijadualkan esok sekali gus menandakan hala tuju baharu dalam memastikan pembangunan bandar di Malaysia kekal mampan, maju, makmur dan inklusif. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan