KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Beberapa senator hari ini menggesa supaya Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memberi tumpuan khusus kepada pengukuhan sektor kesihatan negara termasuk menambah bilangan pakar perubatan dan jururawat, selain memperkukuh aspek kesihatan mental dan peranan sektor swasta.
Senator Datuk Edward Linggu Bukut berkata pelan pembangunan lima tahun itu perlu memberi penekanan terhadap penyediaan lebih ramai doktor, jururawat terlatih, pakar perubatan dan bekalan peralatan lengkap, khususnya bagi penduduk luar bandar serta pulau terpencil.
“Ia (penekanan) terutamanya di kawasan pedalaman dan pulau terpencil supaya rakyat tidak lagi dipinggirkan daripada akses perawatan berkualiti,” katanya ketika membahaskan usul berkenaan di Dewan Negara hari ini.
Senator Noorita Sual pula menegaskan isu kesihatan mental dalam kalangan belia perlu diberi perhatian serius berikutan cabaran ekonomi, sosial dan digital pascapandemik.
Beliau berkata kadar kemurungan, kegelisahan dan tekanan mental semakin membimbangkan dengan data Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan lebih 500,000 rakyat, kebanyakannya belia mendapatkan rawatan kesihatan mental pada 2022.
“Hal ini bukan lagi isu terpencil, tetapi krisis kesihatan awam. Generasi muda kita sedang mencari arah, namun sokongan yang diberikan masih belum mencukupi,” katanya.
Beliau menekankan keperluan strategi menyeluruh merangkumi akses rawatan yang lebih mudah, kempen kesedaran serta pendidikan komuniti bagi mengurangkan stigma terhadap masalah mental.
Sementara itu, Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata dasar dan polisi kerajaan berkaitan sektor penjagaan kesihatan swasta juga perlu disemak semula bagi memastikan rakyat mendapat akses rawatan berkualiti, saksama dan mampu dibayar.
Langkah itu, katanya penting dalam menghadapi peningkatan kos perubatan dan menangani isu yang membelenggu pengamal perubatan swasta, termasuk kawal selia harga ubat serta fi konsultasi yang tidak dikemas kini sejak lebih tiga dekad.
“Peranan klinik swasta sangat besar dalam membantu kerajaan menyediakan perkhidmatan kesihatan primer kepada rakyat, namun kewujudan pihak ketiga yang mengenakan pelbagai caj tambahan serta menyekat pilihan rawatan menghakis keupayaan doktor merawat secara optimum,” katanya.
Mengambil contoh hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, Dr Wan Martina berkata sebanyak 33.9 peratus rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan kesihatan swasta, sekali gus menunjukkan keperluan untuk merangka semula pelan tindakan kesihatan yang lebih menyeluruh dan inklusif.
Dalam pada itu, Senator Dr A. Lingeshwaran membangkitkan isu buli yang masih berlaku dalam kalangan anggota kesihatan, termasuk doktor muda, jururawat dan paramedik di fasiliti KKM.
“Saya ingin memuji usaha KKM melancarkan garis panduan pengurusan buli di tempat kerja, namun kita tidak mahu ia sekadar dokumen cantik yang disimpan dalam peti besi,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan dasar itu perlu disertai jaminan perlindungan kepada pengadu, memandangkan ramai mangsa buli takut membuat laporan kerana identiti mereka sering bocor walaupun menggunakan saluran rasmi seperti Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA).
“Ada yang akhirnya ditekan, dipinggirkan atau terpaksa meletak jawatan,” katanya sambil mencadangkan KKM menubuhkan talian hotline terus ke pejabat menteri bagi membolehkan aduan serius disalurkan terus ke Putrajaya dan disiasat oleh pasukan khas.
Persidangan Dewan Negara bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial