KUANTAN, 26 Ogos (Bernama) -- Beberapa jalan utama di sekitar bandar Kuantan ditutup secara berperingkat bermula 27 Ogos ini bagi memberi laluan kepada raptai dan sambutan Hari Kebangsaan 2025 peringkat negeri Pahang.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata jalan yang ditutup berperingkat adalah Jalan Mahkota, Jalan Besar, Jalan Merdeka, Jalan Taman, Jalan Bukit Ubi serta Jalan Tanah Putih.
“Bagi memastikan kelancaran aliran trafik pada hari sambutan, beberapa lencongan dan pemasangan penghadang jalan juga akan dibuat di beberapa lokasi utama," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ashari berkata lencongan trafik akan melibatkan laluan dari Jalan Tanah Putih ke Jalan Wong Ah Jang, Jalan Tanjung Lumpur ke Jalan Gambut serta dari Jalan Gambut ke Jalan Bukit Ubi.
“Penghadang jalan akan ditempatkan di Jalan Taman, pusingan U di Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jalan Mahkota menuju simpang Kuantan Parade,” katanya dan memaklumkan sambutan berkenaan akan berlangsung di Padang MBK 1, Taman Kerang di sini dari 6 pagi hingga 1 tengah hari 31 Ogos.
Ashari menasihatkan orang awam supaya merancang perjalanan lebih awal sepanjang tempoh persiapan dan sambutan berlangsung, di samping memberikan kerjasama serta mematuhi arahan lalu lintas yang dikeluarkan.
Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata seorang guru wanita berusia 38 tahun kerugian hampir RM200,000 selepas diperdaya sindiket yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta polis.
Ashari berkata mangsa dihubungi suspek pada Jun lepas yang mendakwa nombor telefonnya terlibat dalam penyebaran maklumat palsu dan pengubahan wang haram.
“Suspek telah memperdaya mangsa supaya membuat pinjaman peribadi berjumlah RM265,000 di sebuah bank di Jalan Putra Square, di sini pada 25 Jun lepas kononnya untuk tujuan siasatan,” katanya.
Beliau berkata hasil semakan dengan pihak bank mendapati wang dalam akaun mangsa telah dipindahkan sebanyak 21 kali ke akaun bank pihak ketiga antara 2 hingga 3 Julai, yang melibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM199,994.
Ashari berkata mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial