EKONOMI

Malaysia Perlu Bertindak Segera Bagi Terajui Hab Semikonduktor Generasi Baharu

25/08/2025 10:40 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Malaysia perlu mengambil langkah lebih strategik dengan segera untuk menjadi hab serantau bagi semikonduktor generasi akan datang, dengan jangkaan hasil global melebihi US$1 trilion (US$1 = RM4.20) menjelang 2030, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Malaysia, kata beliau, kini menyumbang 13 peratus kepada sektor ujian dan pembungkusan semikonduktor global, serta menguasai lebih tujuh peratus daripada bahagian pasaran semikonduktor dunia.

Amir Hamzah juga menyifatkan kerjasama strategik baru-baru ini dengan ARM, peneraju global dalam seni bina cip yang digunakan pada lebih 250 bilion peranti, sebagai langkah utama dalam mentransformasi industri semikonduktor Malaysia menjadi sektor bernilai tinggi dan berpotensi pertumbuhan tinggi.

“Kerjasama ini akan mengukuhkan integrasi global, meningkatkan keupayaan tempatan, mengembangkan inovasi kecerdasan buatan (AI) dan cip, serta mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya dalam ucaptama Majlis Makan Malam Merdeka Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), malam ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Presiden MSIA Datuk Seri Wong Siew Hai.

Menurut Amir Hamzah, sektor semikonduktor sahaja telah menarik pelaburan berjumlah RM480 juta melalui perkongsian strategik yang memberi impak, termasuk kerjasama Khazanah Nasional Bhd dengan Cambrian Fund yang menyokong usahawan tempatan dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS) dalam teknologi IR4.0.

Sementara itu, pelaburan dalam Syntiant, peneraju global dalam AI pinggir (edge AI), membantu membawa penyelidikan dan pembangunan AI bertaraf dunia ke Malaysia, kata beliau.

“Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) turut komited dengan RM350 juta dalam dana fokus semikonduktor Asia yang bertujuan menyokong pertumbuhan keupayaan eksport firma tempatan serta menarik pemain global terkemuka ke Malaysia.

“Ini membuktikan bahawa syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) kita sedang digerakkan untuk menyokong visi Malaysia dalam merealisasikan Strategi Semikonduktor Negara (NSS),” kata beliau.

Sementara itu, Amir Hamzah turut melancarkan Rangka Kerja Kemahiran Industri (IndSF) bagi Semikonduktor oleh Kementerian Sumber Manusia, merupakan satu langkah strategik untuk memperkukuh bakal tenaga kerja dalam industri semikonduktor.

“Saya berharap inovasi dan inisiatif peningkatan kemahiran tenaga kerja ini akan terus memastikan daya saing Malaysia terjamin dalam industri yang berkembang pesat ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan